Isnin, 20 Ogos 2018 | 12:19am
 GEMPA bumi kuat menggegarkan Lombok, Indonesia, sebentar tadi, dua minggu selepas satu gempa bumi mengorbankan lebih 480 orang di pulau peranginan itu. - Foto REUTERS
GEMPA bumi kuat menggegarkan Lombok, Indonesia, sebentar tadi, dua minggu selepas satu gempa bumi mengorbankan lebih 480 orang di pulau peranginan itu. - Foto REUTERS

Gempa bumi 6.9 magnitud gegar Lombok

LOMBOK: Gempa bumi kuat menggegarkan Lombok, Indonesia, sebentar tadi, dua minggu selepas satu gempa bumi mengorbankan lebih 480 orang di pulau peranginan itu.

Gempa bumi terbaharu itu berlaku beberapa jam, selepas satu lagi gempa bumi, semalam yang mencetuskan tanah runtuh, merosakkan bangunan dan menyebabkan penduduk lari bertempiaran.

Menurut Peninjau Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi 6.9 magnitud itu berlaku pada kedalaman cetek 20 kilometer dengan pusat gempa hanya kira-kira lima kilometer di selatan kawasan Belanting, timur Lombok.

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan, katanya.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kerosakan akibat gempa bumi itu yang berlaku dalam daerah sama gempa bumi terdahulu, awal semalam.

Namun, seorang penduduk tempatan berkata, gegaran kuat menyebabkan beliau terbangun dari tidur.

“Gempa bumi ini amat kuat. Segala benda bergegar. Kami semua tidur dalam kem sementara. Gegaran berlaku, ketika saya baru saja melelapkan masa.

“Ramai berlari ke jalan dan ada yang menangis ketakutan,” katanya sambil menambah bekalan tenaga elektrik di kawasan itu turut terjejas. - AFP

Berita Harian X