Selasa, 14 Ogos 2018 | 6:23pm
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto Reuters
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. - Foto Reuters

Netanyahu jumpa Sisi bincang gencatan di Gaza

BAITULMAQDIS: Menteri Kewangan Israel hari ini mengesahkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bertemu dengan Presiden Abdel Fattah al-Sisi di Mesir, pada Mei lalu untuk membincangkan gencatan senjata jangka panjang di semenanjung Gaza.

Jurucakap Netanyahu enggan mengulas mengenai pertemuan itu, selepas ia dilaporkan saluran televisyen Channel Ten News di Israel, semalam.

Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini cuba menjadi pengantara gencatan antara Israel dan Hamas, susulan lonjakan keganasan di sempadan, sejak beberapa bulan lalu.

Kedua-dua pemimpin itu membincangkan isu melonggarkan sekatan terhadap Gaza, pemulihan infrastrukturnya dan syarat gencatan, lapor Channel Ten.

“Ya,” kata Menteri Kewangan Moshe Kahlon, ketika menjawab soalan Israel Army Radio sama ada beliau mengetahui mengenai mesyuarat itu.

“Semua yang berlaku di Gaza akan dilakukan dengan pengantaraan dan pembabitan Mesir,” tambah beliau.

Lebih dua juta penduduk Palestin tinggal dalam keadaan sesak di semenanjung Gaza yang kini mengalami kemelesetan ekonomi teruk.

Bank Dunia menyifatkan situasi di wilayah itu sebagai krisis kemanusiaan dengan pelbagai masalah termasuk kekurangan bekalan air, tenaga elektrik dan perubatan.

Israel dan Mesir mengawal ketat lintasan sempadan dengan Gaza kononnya disebabkan isu keselamatan, namun tindakan kejam itu menyebabkan ekonomi wilayah terkepung itu hampir musnah. - Reuters

Berita Harian X