Isnin, 23 Julai 2018 | 2:49pm
SEORANG lelaki berteduh di sebuah taman di Tokyo berikutan gelombang haba teruk yang melanda di Jepun. - Foto AFP

TERKINI: 24 maut gelombang haba di Jepun, Korea Selatan

TOKYO: Fenomena gelombang haba teruk di Jepun menyebabkan sebuah bandar di barat laut ibu negara itu mencatatkan paras suhu tertinggi dalam rekod pada 41.1 darjah celsius, hari ini, kata agensi cuaca.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, suhu tinggi itu direkodkan di bandar Kumagaya, wilayah Saitama. Katanya, ia mengatasi rekod terdahulu pada 41 darjah celsius yang direkodkan di Kochi, barat Jepun pada Ogos 2013.

Data suhu di Jepun mempunyai pelbagai tarikh mula direkodkan dengan data di Kumagaya mula disimpan sejak 1896.

Ratusan penduduk negara itu dikejarkan ke hospital selepas didapati mempunyai sintom strok haba, selepas fenomena terbabit melanda lebih seminggu. Kes kematian juga dilaporkan hampir setiap hari.

Pihak berkuasa mengingatkan penduduk supaya berada di dalam rumah dan menggunakan penghawa dingin.

Suhu panas dijangka terus melanda sebahagian besar kawasan di Jepun dan Korea Selatan. Setakat ini, kira-kira 24 penduduk Jepun maut akibat fenomena itu. - Reuters

Berita Harian X