TEHRAN: Sekurang-kurangnya 11 orang maut, hari ini selepas sebuah lori tangki minyak bertembung dengan sebuah bas di barat Iran, lapor media kerajaan.
Menurut stesen televisyen kerajaan, kemalangan membabitkan kedua-dua kenderaan itu berlaku sebaik sahaja waktu tengah malam di Sanandaj, ibu negeri Kurdistan yang terletak kira-kira 400 kilometer di barat Tehran.
Difahamkan, empat penumpang bas dan tiga orang yang lalu lalang di lokasi cedera dalam 'letupan amat kuat', susulan pertembungan itu, kata agensi berita IRNA.
Katanya, pihak berkuasa tempatan sudah mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari di negeri itu.
Walaupun jalan di Iran dalam keadaan baik, negara itu mempunyai rekod keselamatan jalan raya teruk dengan kemalangan sering disebabkan pemandu cuai yang mengorbankan ribuan mangsa setiap tahun. - AFP