Selasa, 19 Jun 2018 | 11:42pm

Tentera pakatan Arab tawan kawasan pelabuhan Hudaidah

ADEN: Tentera pakatan Arab menyerbu lapangan terbang di pelabuhan utama Yaman di Hudaidah, semalam dan berjaya menawan sebahagian besar kawasan daripada pemberontak Huthi yang disokong Iran, kata sumber ketenteraan Yaman dan penduduk.

Penduduk bandar strategik di Laut Merah itu berkata, pertempuran sengit berlaku di jalan pesisir pantai sehingga ke pusat bandar yang padat dari lapangan terbang. Katanya, helikopter tembakan Apache milik Barat turut memberikan sokongan udara.

Tindakan merampas lapangan terbang itu dari puak Houthi adalah langkah utama usaha pakatan Arab menawan Hudaidah. Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini berjanji untuk melakukan serangan pantas untuk mengelak gangguan terhadap penghantaran bantuan ke Yaman melalui pelabuhan itu.

"Kita boleh dengar bunyi meriam artileri, tembakan mortar dan senjata mesingan. Pemberontak Houthi menggunakan kereta kebal, " kata seorang penduduk yang berhampiran kawasan tepi pantai kepada Reuters menerusi telefon yang enggan dikenali.

"Bekalan air ke banyak kawasan berhampiran Corniche putus kerana pemberontak Houthi menggali parit dan menutup saluran air. Ramai penduduk melarikan diri dari kejiranan ini dan pergi ke pusat bandar. "

Media Arab Saudi dan UAE menuduh pemberontak Houthi menyerang daerah penduduk awam, namun penduduk berkata, pemberontak Huthi mensasarkan tentera pakatan. - Reuters

Berita Harian X