Selasa, 12 Jun 2018 | 12:16am
KIM Jong-un (tengah kanan) bersiar-siar di kawasan dermaga bersama Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan. - Foto EPA-EFE

Jong-un bersiar-siar, beli-belah

SINGAPURA: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un melupakan sebentar persiapan sidang kemuncak esok dengan bersiar-siar di kawasan dermaga republik ini, malah mengambil swafoto bersama Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan.

Gambar itu dihantar dalam talian oleh Balakrishnan ketika kumpulan pemimpin Korea Utara itu melawat beberapa tarikan utama, kurang 12 jam sebelum pertemuan Jong-un dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Terdahulu beliau melawat taman tropika sebelum mengunjungi kolam renang infiniti di atas hotel terkenal berhadapan air republik ini, mengejutkan tetamu.

Jong-un berada di ibu kota ini untuk sidang kemuncak bersejarah dengan Trump, esok.

Pemimpin Pyongyang itu tidak keluar dari bilik hotelnya sejak bertemu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, sejurus tiba semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika kumpulan diplomat Korea Utara bersut keluar dari hotel untuk berunding bersama pegawai AS, kumpulan lebih besar lain memakai baju musim panas keluar membeli belah.

Bagi pemimpin Korea Utara yang terasing dan delegasi terdiri daripada berpuluh pegawai, kakitangan media dan keselamatan, kunjungan jarang dilakukan itu adalah peluang membina jambatan diplomatik serta meneroka kejayaan kapitalis republik ini, satu daripada negara paling kaya di dunia.

Delegasi Korea Utara menginap di hotel lima bintang St Regis di mana hidangan bufet sarapan setiap seorang berharga S$47 (RM140.37) bersamaan pendapatan diperoleh penduduk biasa negara itu dalam sebulan.

Antara 36 rakyat Korea Utara dilihat mengambil sarapan hari ini adalah beberapa lelaki paling berkuasa rejim, biasanya dilihat pemerhati Korea Utara menerusi gambar diterbitkan media tempatan ketika mereka berbaris dalam acara rasmi.

Jeneral empat bintang dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea, Kim Yong Chol, Naib Pengerusi dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa Ri Su Yong serta Menteri Luar, Ri Yong Ho, antara yang dilihat.

Kakitangan hotel tidak menggalakkan tetamu berinteraksi dengan kumpulan Korea Utara itu atau mengambil gambar mereka.

Kakitangan media Pyongyang diberi peluang merasa dimsum, pastri dan telur goreng serta mengambil gambar cendera hati setiap seorang di dewan makan utama.

Layanan seperti itu tidak didengar untuk kebanyakan rakyat Korea Utara walaupun pegawai kerajaan, yang menyaksikan peluang melakukan perjalanan ke luar negara sejak beberapa tahun lalu ketika pengasingan semakin meningkat susulan sekatan akibat program nuklear dan peluru berpandunya.

Rakyat biasa Korea Utara bergantung kepada diet membosankan terdiri daripada nasi, jagung, kimchi dan pes kacang serta kekurangan lemak dan protein penting, menurut keterangan pembelot serta pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Malam Ahad lalu, beberapa jam selepas Jong-un dan delegasinya tiba di republik ini, wartawan Reuters melihat pegawai Korea Utara, sesetengah memakai lencana pin pemimpin mereka, memesan hidangan makan malam berharga lebih AS$100 (RM398.42) seorang di restoran China mewah hotel itu. Yang lain memilih makanan segera dari Barat.

Sekumpulan kakitangan keselamatan Korea Utara dilihat kembali semula ke hotel bersama kotak kadbod, satu daripadanya dari restoran makanan segera McDonald's.

Kakitangan itu tinggal di tiga tingkat teratas St Regis, Reuters melaporkan dengan tingkat bahagian atas berharga lebih S$5,000 (RM14,929.11) semalam manakala Presidential Suite, berharga S$9,000 (RM26,872.41) semalam, menurut laman web hotel.

Presidential Suite hotel itu mengandungi bilik makan, ruang tamu, perpustakaan, bilik tidur dan teres, bilik bersenam, bilik wap, khidmat pelayan dan dapur.

St Regis enggan mengulas siapa yang tinggal di tingkat atas atau berapa banyak bilik diambil delegasi Korea Utara itu. -Reuters

Berita Harian X