Rabu, 30 Mei 2018 | 11:32pm

Zionis lulus 2,000 penempatan haram Yahudi

BAITULMAQDIS: Israel semalam meluluskan pembinaan 1,958 rumah pendatang baharu di wilayah Palestin yang dijajahnya di Tebing Barat, kata badan pemerhati penempatan Israel, Peace Now.

Namun, jumlah itu lebih rendah berbanding 2,500 permohonan yang dimajukan Menteri Pertahanan Avigdor Lieberman, minggu lalu.

Kelulusan penempatan itu adalah yang pertama, sejak pemindahan kontroversi kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada 14 Mei lalu yang mencetuskan kemarahan dan tunjuk perasaan penduduk Palestin di sempadan Gaza.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 61 penduduk Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Zionis untuk hari itu sahaja.

Peace Now berkata, kelulusan semalam yang membabitkan kira-kira 700 unit mendapat kelulusan akhir, sementara baki unit lain melepasi peringkat kelulusan pertama dalam proses merancang.

Katanya, kebanyakan penempatan itu terletak di luar blok utama. Kerajaan Israel merancang untuk mengekalkan kawasan itu sebagai wilayahnya dalam sebarang rundingan damai dengan Palestin.

Penempatan Israel di Tebing Barat dianggap haram berdasarkan undang-undang antarabangsa dan ditentang hebat penduduk Palestin.

Peace Now berkata, wujud lonjakan pembinaan penempatan ketika penggal pemerintahan Presiden AS, Donald Trump, setakat ini membabitkan kira-kira 14,000 kelulusan. - AFP

Berita Harian X