Jumaat, 25 Mei 2018 | 4:07pm

Zionis desak EU henti sokong kumpulan anti-Israel

BAITULMAQDIS: Israel, hari ini menuduh Kesatuan Eropah membiaya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempromosikan kempen 'boikot anti-Israel' dan menggesa sokongan itu ditamatkan.

Menerbitkan kajian setebal 40 muka surat, Kementerian Hal Ehwal Strategik dan Diplomasi Sosial Israel meletakkan skop bantuan seumpama itu kepada NGO di Eropah dan Palestin sebanyak lima juta Euro (RM23 juta) pada 2016.

Ia berkata, itu berdasarkan jumlah angka EU pada tahun berkenaan, menggambarkan ia sebagai terbaru yang diperoleh mereka.

Israel sudah lama menegaskan kumpulan seperti Pemulauan, Perlucutan dan Sekatan (BDS) mahu meminggirkan Israel berhubung dasar mereka ke atas penduduk Palestin.

Delegasi EU di Israel berkata, ia tidak menerima sebarang komunikasi kerajaan mengenai perkara itu tetapi sanggup menilai semula sebarang maklumat relevan membabitkan aktiviti dibiaya EU.

"Wang daripada bajet EU boleh digunakan untuk tujuan yang sudah ada dalam kontrak, menurut peraturan ketelusan tegas dan menjadi subjek pemantauan ketat.

"Kami yakin pembiayaan EU tidak menyokong keganasan atau aktiviti BDS, seperti dinyatakan dalam laporan," kata kenyataan daripada pejabat delegasi itu. - Reuters

Berita Harian X