Isnin, 14 Mei 2018 | 7:17am
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghadiri majlis rasmi sempena perasmian Kedutaan AS di Kementerian Luar Negeri di Baitulmaqdis. - Foto AFP
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghadiri majlis rasmi sempena perasmian Kedutaan AS di Kementerian Luar Negeri di Baitulmaqdis. - Foto AFP

Majoriti diplomat asing tidak hadir pembukaan Kedutaan AS

BAITULMAQDIS: Israel meraikan sambutan pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini semalam dengan ketiadaan majoriti wakil diplomat asing yang dijemput dalam majlis dianjurkan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Israel berkata, daripada 86 negara dengan misi diplomatik di Israel yang dijemput dalam acara itu, hanya 33 mengesahkan kehadiran. Antara yang hadir adalah delegasi dari Guatemala dan Paraguay, yang akan membuka kedutaan mereka di sini, akhir bulan ini.

Hungary, Romania dan Republik Czech diwakili Menteri Luarnya, namun tiada wakil langsung dari negara barat Kesatuan Eropah (EU), menunjukkan perselisihan dengan blok itu berhubung perpindahan misi Presiden AS, Donald Trump dari Tel Aviv ke sini.

Negara yang tidak hadir enggan mengulas semalam. Misi EU di Israel menulis tweet Jumaat lalu, blok itu akan 'menghormati persetujuan antarabangsa berkaitan Baitulmaqdis termasuk lokasi wakil diplomatik mereka sehingga status akhir Baitulmaqdis diselesaikan.'

Setiausaha Perbendaharaan AS menyifatkan perpindahan kedutaan itu, 'tanda persahabatan dan perkongsian sekian lama antara dua negara' selain merujuk pengunduran negara itu minggu lalu daripada perjanjian nuklear Iraq namun dikecam kuasa lain dunia.

Sementara itu, penduduk Palestin merancang mengadakan bantahan terhadap pengisytiharan pembukaan Kedutaan AS hari ini dari daerah Arab bersempadan dengan bandar ini.

Di sempadan Gaza, mereka juga mengadakan bantahan ketika Israel bersiap sedia menyambut ulang tahun ke-70 penubuhannya, acara digelar Nakba oleh Palestin atau Malapetaka, apabila ratusan ribu kehilangan tempat tinggal.

Dalam satu ucapan direkodkan semalam, pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahri mengkritik keputusan Trump berkaitan kedutaan itu dan menegaskan Tel Aviv adalah tanah milik penduduk Islam. -Reuters

Berita Harian X