Rabu, 25 April 2018 | 3:02pm
Saleh al-Sammad. - Foto fail AFP
Saleh al-Sammad. - Foto fail AFP

Arab Saudi dakwa bunuh pemimpin Houthi

RIYADH: Arab Saudi mengesahkan, ia melakukan serangan udara yang mengorbankan pemimpin nombor dua pemberontak Houthi minggu lalu, dibalas amaran, militia itu akan membalas dendam atas kematiannya.

Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat (AS), Putera Khaled Salman menulis tweet lewat semalam mengesahkan berita itu.

"Wira Tentera Udara Diraja berjaya menyasar pemimpin militia Houthi, Saleh al-Sammad," katanya.

Sammad, ketua majlis politik agung Houthi terbunuh Khamis lalu di wilayah barat Hodeida, kata pemberontak bersekutu Iran itu.

Pemberontak Houthi berjuang menentang kerajaan Yaman disokong Arab Saudi dan pakatan tentera diterajui Riyadh terhadap kawalan di negara miskin itu.

Putera Khaled berkata, serangan itu diterajui saudara lelakinya Putera Mahkota Mohammed Salman, selepas Sammad mengancam gelombang serangan peluru berpandu ke atas Arab Saudi.

Mohammed, yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi adalah perancang utama campur tangan perang di Yaman.

Konflik itu meragut hampir 10,000 nyawa dalam tempoh tiga tahun. -AFP

Berita Harian X