Khamis, 19 April 2018 | 9:54pm
GAMBAR fail, bekas Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri Shinzo Abe di Tokyo, Jepun pada 28 Julai 2017. - Foto REUTERS
GAMBAR fail, bekas Menteri Luar Jepun, Fumio Kishida tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri Shinzo Abe di Tokyo, Jepun pada 28 Julai 2017. - Foto REUTERS

Jepun pertimbang calon PM baharu

TOKYO: Ramai pencabar sudah menggerakkan usaha untuk menggantikan tempat Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ketika sokongan terhadap pemimpin terpalit skandal itu semakin menyusut.

Namun setakat ini, masih belum ada calon yang menawarkan alternatif kepada dasar 'pertahanan kuat dan ekonomi kukuh' Abe.

Sokongan terhadap Abe menyusut hampir 30 peratus selepas didakwa terbabit dengan skandal kronisme. Ia menjejaskan peluang beliau untuk melanjutkan penggal ketiga sebagai ketua Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam pemilihan pada September depan.

Keadaan itu membayangkan kemungkinan Abe akan meletak jawatan tidak lama lagi.

Bekas Menteri Luar, Fumio Kishida dilihat sebagai pencabar utama dan dekat untuk mencabar kepimpinan secara terus dengan melancarkan slogan 'semak dan imbang kuasa' serta mengutamakan 'akar umbi' dalam proses membuat keputusan.

Abe memulakan perkhidmatan kedua sebagai Perdana Menteri pada Disember 2012. Beliau dikritik kerana mengamalkan gaya pemerintahan seperti diktator, namun penyokongnya menyatakan ia adalah ciri kepimpinan yang kuat.

"Saya disifatkan lelaki yang tidak mahu atau tidak boleh melakukan perubahan, namun saya akan bertindak jika krisis berlaku," kata Kishida sambil disambut sorakan penyokong dalam majlis mengumpul dana.

Calon lain termasuk bekas Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Seiko Noda iaitu satu-satunya calon yang mendedahkan hasrat bertanding pada pemilihan September depan dan Menteri Luar, Taro Kono, 55, yang terkenal sering membantah dasar parti.

Dalam pada itu, anak bekas Perdana Menteri Junichiro Koizumi yang popular, Shinjiro Koizumi, 37, masih terlalu muda untuk masuk dalam barisan pemimpin kanan LDP walaupun berada pada kedudukan tinggi dalam tinjauan pendapat. - Reuters

Berita Harian X