Sabtu, 17 Februari 2018 | 7:25pm
POLIS Pakistan berdiri di luar pemeriksaan penjara Kot Lakhpat di mana Imran Ali, suspek yang dituduh merogol dan membunuh Zainab Fatima Ameen berusia enam tahun.- Foto AFP
POLIS Pakistan berdiri di luar pemeriksaan penjara Kot Lakhpat di mana Imran Ali, suspek yang dituduh merogol dan membunuh Zainab Fatima Ameen berusia enam tahun.- Foto AFP

Lelaki rogol, bunuh kanak-kanak dihukum mati

LAHORE : Seorang lelaki yang didapati bersalah merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan dijatuhkan empat hukuman mati oleh mahkamah hari ini.

Imran Ali, 24, sebelum ini dibicarakan atas kesalahan membunuh Zainab Fatima Ameen, di timur Kasur bulan lalu dalam kes yang mencetuskan kemarahan orang ramai sehingga menyebabkan rusuhan di daerah kediamannya.

Lelaki itu turut berdepan tuduhan menyerang sekurang-kurangnya tujuh kanak-kanak lain di Punjab, dengan lima daripadanya ditemui mati dibunuh.

Imran mengaku melakukan kesemua lapan serangan, termasuk yang menyebabkan kematian Zainab.

Ketua Pendakwa wilayah Punjab, Ihtesham Qadir berkata, tertuduh dijatuhkan empat hukuman mati secara berasingan selepas disabitkan dengan kesalahan membunuh dan memperkosa Zainab, selain tuduhan melakukan keganasan.

Menurut undang-undang Pakistan, jenayah yang mencetuskan ketakutan kepada orang awam boleh dikategorikan sebagai aktiviti keganasan.

Ihtesham berkata, tertuduh juga dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat dan denda berjumlah 3.2 juta rupee (RM116,730) atas kesalahan menyembunyikan mayat mangsa. - AFP

Berita Harian X