Khamis, 1 Februari 2018 | 6:58pm
SITUASI di Aden stabil dan semua pihak mematuhi sepenuhnya dengan isu pengumuman rasmi oleh pakatan Arab.- Foto AFP
SITUASI di Aden stabil dan semua pihak mematuhi sepenuhnya dengan isu pengumuman rasmi oleh pakatan Arab.- Foto AFP

Arab Saudi, UAE hantar wakil pulih ketegangan di Aden

ADEN: Wakil khas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sering bergerak mengadakan pertemuan antara tentera kerajaan Yaman dan pemisah di selatan negara itu hari ini dalam usaha mengendurkan ketegangan selepas beberapa hari pertempuran meletus.

Serangan Ahad lalu ke atas ibu pejabat kerajaan oleh bekas sekutunya membuka kisah baru perang saudara yang mencetuskan apa yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan terburuk dunia.

Wakil kedua-dua kerajaan bertemu dengan semua pihak terbabit, menegaskan keperluan mematuhi gencatan senjata dan usaha memfokus semula di barisan depan menentang Houthi, menurut laporan agensi berita rasmi UAE, WAM.

"Situasi di Aden stabil dan semua pihak mematuhi sepenuhnya dengan isu pengumuman rasmi oleh pakatan Arab.

"Arab Saudi dan UAE mempunyai matlamat sama dan visi sama dan tiada cita-cita lain," kata wakil Arab Saudi, Mejar Jeneral Mohammed bin Saeed al-Mughaidi.

Wakil UAE, Mejar Jeneral Mohammed Matar al-Khyeli, berkata: "Arab Saudi dan UAE bersama-sama rakyat Yaman dan mengetuai usaha perpaduan antara pihak di Yaman."

Arab Saudi dan UAE adalah dua negara utama menghantar anggota tentera paling ramai menyertai pasukan antarabangsa yang menyokong Presiden Abedrabbo Mansour Hadi sejak beliau melarikan diri untuk hidup dalam buangan pada 2015.

Namun kedua-duanya bergelut menyatukan pelbagai pakatan yang menyokong Hadi menentang pemberontak Houthi yang menawan ibu negara Yaman, Sanaa dan wilayah di utara negara itu. - AFP

Berita Harian X