Ahad, 28 Januari 2018 | 7:15pm
PERDANA Menteri Yaman, Ahmed bin Dagher (kanan). - Foto AFP
PERDANA Menteri Yaman, Ahmed bin Dagher (kanan). - Foto AFP

PM Yaman tuduh pemisah cuba rampas kuasa

ADEN: Perdana Menteri Yaman, Ahmed bin Dagher, hari ini menuduh pemisah di selatan negara itu cuba merampas kuasa selepas mereka mengambil alih ibu pejabat kerajaan.

Beliau menggesa pasukan antarabangsa diketuai Arab Saudi yang memerangi pemberontak Houthi yang disokong Iran supaya campur tangan, beberapa jam selepas pertempuran sengit meletus antara tentera yang setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi dan pasukan keselamatan yang setia kepada pemisah selatan.

Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk empat anggota tentera prokerajaan, maut dan puluhan lagi cedera dalam pertempuran yang merebak ke hampir seluruh Aden.

"Rampasan kuasa berlaku di Aden menentang kerajaan yang sah," kata Dagher dalam kenyataan.

Sumber keselamatan memberitahu, unit propemisah, yang dilatih dan disokong Emiriah Arab Bersatu (UAE), menawan ibu pejabat kerajaan di Aden selepas bertempur dengan tentera prokerajaan.

Dagher berkata, kejadian di Aden menuju ke arah 'konfrontasi tentera seluruhnya' dan menggesa anggota pakatan, terutama UAE, supaya bertindak. - AFP

Berita Harian X