Jumaat, 26 Januari 2018 | 12:45am
Pulau ditadbir Jepun yang menggelarnya 'Senkaku', namun turut dituntut China yang menamakannya 'Diaoyu.

Seoul tuntut Jepun tutup muzium papar pulau bertelingkah

TOKYO: Korea Selatan hari ini menuntut 'penutupan segera' sebuah muzium baharu ibu kota ini, ditujukan untuk dua pulau bertelingkah, beberapa jam selepas dibuka.

Muzium itu, dikendalikan kerajaan Jepun, memaparkan dokumen dan gambar mempertahankan tuntutan Jepun ke atas dua pulau berkenaan.

Jepun memiliki sejarah pertikaian panjang dengan China berhubung pulau tidak berpenghuni terletak di Laut China Timur itu. Pulau berkenaan ditadbir Jepun yang menggelarnya 'Senkaku', namun turut dituntut China yang menamakannya 'Diaoyu.

Pada masa sama, Jepun turut menuntut haknya di kepulauan Laut Jepun dikawal Korea Selatan dikenali 'Dokdo' dan negara matahari terbit itu memanggilnya 'Takeshima'.

"Kami berharap ia memberi pemahaman jelas mengenai pulau Takeshima dan Senkaku," kata Menteri bertanggungjawab menangani isu wilayah berkenaan, Tetsumi Esaki ketika merasmikan pembukaan muzium berkenaan.

Seoul segera bertindak balas menerusi bantahan dibuat Kementerian Luar negara itu, menggambarkannya sebagai 'tuntutan tidak dapat diadili' dilakukan Jepun terhadap 'wilayah sedia diwarisinya'.

"Kami menuntut muzium itu ditutup serta-merta.

"Kerajaan Jepun perlu melupakan impian memiliki Dokdo , baik dari segi sejarah, kedudukan geografi mahupun undang-undang antarabangsa kerana jelas membuktikan ia sebahagian tanah air kami," kata kementerian dalam satu kenyataan. -AFP

Berita Harian X