Isnin, 25 Disember 2017 | 1:46pm

20 penumpang bas maut, nahas menjelang sambutan Krismas

MANILA: Seramai 20 penumpang maut, selepas bas yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke utara Filipina bagi menyertai sambutan Krismas.

Menurut pegawai polis, Vanessa Abubo kepada AFP, sebuah bas yang dinaiki keluarga seramai 20 orang berlanggar dengan sebuah lagi bas di bandar Agoo, kira-kira 200 kilometer di utara Manila.

"Sembilan lagi penumpang bas yang lebih kecil dilaporkan cedera, selain 15 penumpang dalam bas yang lebih besar.

"Semua mangsa sedang dalam perjalanan menghadiri sambutan Krismas di Manaoag," kata Abobo, merujuk kepada gereja yang terkenal dalam kalangan penganut Katolik.

Sementara itu, Ketua Polis Agoo, Roy Villanueva ketika dihubungi stesen radio Manila, DZMM menerusi telefon berkata, bas yang lebih kecil dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah lagi bas.

"Pihak berkuasa kini sedang menyiasat sama ada pemandu bas terbabit yang turut terkorban, berada di bawah pengaruh dadah atau tertidur ketika nahas berlaku," kata Villanueva. - AFP

Berita Harian X