Khamis, 7 September 2017 | 9:41pm
FERDINAND Marcos. - Foto fail AFP
FERDINAND Marcos. - Foto fail AFP

Duterte isytihar ulang tahun Marcos cuti umum

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte, secara simbolik menghormati Ferdinand Marcos hari ini, dengan mengisytiharkan ulang tahun ke-100 diktator itu sebagai cuti umum di wilayah kelahiran bekas pemimpin itu.

Ia menunjukkan satu lagi langkah memulihkan imej Marcos, 31 tahun selepas beliau hidup dalam buangan di Amerika Syarikat susulan kebangkitan rakyat yang menamatkan pemerintahannya selama 20 tahun yang dipenuhi dakwaan skandal rasuah dan pencabulan hak asasi manusia.

Duterte, yang menganggap Marcos sebagai presiden terbaik Filipina, mengejutkan rakyat November lalu dengan membenarkan mayat bekas pemimpin itu dipindahkan ke Perkuburan Wira walaupun dibantah ramai.

Hari ini, Duterte mengisytiharkan 11 September sebagai 'hari tidak bekerja khas' di wilayah Ilocos Norte, kubu kuat Marcos.

"Komuniti Ilocano secara tahunan meraikan ulang tahun mendiang Ferdinand E Marcos dan memperingati kehidupan dan sumbangannya kepada pembangunan negara sebagai veteran Perang Dunia Kedua, ahli perundangan terkenal dan bekas presiden.

"Ia tepat untuk memberikan penduduk Ilocos Norte peluang meraikan dan mengambil bahagian dalam majlis itu dengan perayaan sesuai," kata istana presiden. - AFP

Berita Harian X