Khamis, 7 September 2017 | 9:09pm
ABU Salem (baju merah) dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat. - Foto fail AFP
ABU Salem (baju merah) dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat. - Foto fail AFP

2 suspek letupan bom Mumbai dihukum mati

MUMBAI: Mahkamah hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas dua lelaki yang terbabit dalam letupan bom sehingga meragut lebih daripada 250 nyawa, 20 tahun lalu.

Firoz Abdul Rashid Khan dan Tahir Merchant disabitkan dengan kesalahan konspirasi dalam letupan pada tahun 1993 itu dan dijatuhkan hukuman mati.

Pendakwa Deepak Salve ketika ditemui selepas perbicaraan yang dijalankan secara tertutup itu berkata, beliau amat berpuas hati dengan keputusan mahkamah.

Suspek utama letupan itu, Abu Salem bagaimanapun dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat kerana kerajaan India telah bersetuju untuk tidak menjatuhkan hukuman mati ke atas suspek selepas dia dibawa pulang dari Portugal.

Pendakwa umum, Ujwal Nikam berkata, Salem dan seorang lagi suspek, Karimullah Khan masing-masing dijatuhkan hukuman yang sama manakala seorang lagi suspek dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun.

Kesemua hukuman itu dijatuhkan selepas mahkamah khas di sini mensabitkan enam lelaki dengan pelbagai kesalahan berkaitan serangan itu pada Jun lalu. Salah seorang tertuduh, Mustafa Dossa meninggal dunia akibat diserang sakit jantung selepas keputusan berkenaan.

Suspek ketujuh, Abdul Quayyum pula dibebaskan selepas mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi untuk mengaitkan beliau dengan serangan itu. - AFP

Berita Harian X