Khamis, 24 Ogos 2017 | 9:48pm
PENDUDUK meredah banjir di Malda, India. Angka kematian akibat banjir yang melanda Asia Selatan kini lebih 1,000, kata pegawai. - Foto AFP
PENDUDUK meredah banjir di Malda, India. Angka kematian akibat banjir yang melanda Asia Selatan kini lebih 1,000, kata pegawai. - Foto AFP

Angka korban banjir Asia Selatan lebih 1,000

NEW DELHI: Angka kematian akibat banjir yang melanda Asia Selatan kini lebih 1,000, kata pegawai.

Pasukan penyelamat pula kini bertungkus lumus cuba menyelamatkan jutaan lagi yang terkandas disebabkan bencana paling buruk di rantau itu dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Ribuan askar dan kakitangan kecemasan dikerah ke seluruh India, Bangladesh dan Nepal.

Pihak berkuasa berkata, keseluruhan 1,013 mayat ditemui sejak 10 Ogos lalu berikutan hujan lebat.

Ketiga-tiga negara berhadapan banjir ketika musim hujan tetapi Pertubuhan Palang Merah menggambarkan bencana terbaru ini paling buruk dalam masa beberapa dekad di beberapa bahagian Asia Selatan.

Ia berkata, seluruh komuniti terputus hubungan dan ramai kekurangan makanan dan air bersih.

"Ini tahun yang sukar. Sejak beberapa bulan lalu, banjir melanda barat, timur dan utara negara ini," kata jurucakap pasukan tindakan bencana India, Anil Shekhawat.

Dua puluh enam mayat ditemui semalam di Bihar, negeri paling teruk terjejas di timur India, menjadikan angka kematian di situ meningkat kepada 367, kata pegawai pengurusan bencana, Anirudh Kumar. - AFP

Berita Harian X