Isnin, 7 Ogos 2017 | 1:27am
TUMPAHAN minyak di Victoria Harbour, Hong Kong. - Foto AFP

10 pantai popular HK ditutup akibat tumpahan minyak

HONG KONG: Sepuluh pantai yang popular di kalangan pengunjung khususnya pada hujung minggu terpaksa ditutup selepas dicemari tumpahan minyak akibat perlanggaran kapal di perairan China.

Rakaman foto menunjukkan ketulan seakan 'styrofoam' memenuhi sekitar kawasan pantai manakala air di sebuah perkampungan memancing ikan yang terkenal di kalangan pelancong dilitupi minyak dan sampah-sarap.

Hong Kong terbentuk oleh 200 buah pulau, kebanyakannya memiliki pantai yang indah namun kebimbangan peningkatan kadar pencemaran dan jumlah sampah-sarap semakin bertambah.

Kerajaan dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan penutupan enam pantai dan menaikkan bendera amaran selepas menemui sisa berwarna putih serta berminyak di selatan bandar ini pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, empat pantai lain di bahagian selatan turut ditutup selepas petugas mendapati ia dicemari 'butiran berwarna putih'.

Beberapa penduduk yang ditemui menyatakan mereka tidak pernah melihat sebarang objek berbentuk ketulan minyak di mana-mana pantai selama ini.

"Ia kelihatan agak berbuih," kata seorang penduduk Pulau Lamma, dipetik akhbar South China Morning Post sebagai berkata.

Tumpahan minyak berkenaan dikatakan berpunca dari perlanggaran dua buah kapal di muara Sungai Mutiara di selatan China, Khamis lalu. - AFP

Berita Harian X