Khamis, 3 Ogos 2017 | 2:38pm
PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe. - Foto Reuters
PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe. - Foto Reuters

Abe umum rombakan Kabinet

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, hari ini menamakan menteri pertahanan dan menteri luar negeri baharu sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet yang beliau harapkan akan membendung kemerosotan sokongan berikutan beberapa siri skandal dan kesilapan.

Itsunori Onodera, bekas ketua pertahanan, akan kembali ke Kementerian Pertahanan yang dikejutkan oleh peletakan jawatan anak didik politik Abe, Tomomi Inada, minggu lalu.

Taro Kono, anak bekas menteri luar negeri dilantik sebagai diplomat baharu paling kanan negara itu.

Abe, jaguh politik yang memegang jawatan sejak akhir Disember 2012, sekian lama memperjuangkan agenda nasionalis bersama dengan usaha dasar yang besar untuk menamatkan deflasi dan meremajakan ekonomi ketiga terbesar di dunia itu.

Tetapi kini beliau menyaksikan kadar sokongan awam merosot sejak beberapa bulan yang lalu berikutan pelbagai masalah politik, termasuk dakwaan pilih kasih membabitkan rakan dalam urusan perniagaan yang tegas dinafikan Abe.

"Saya begitu kesal dengan segala kekurangan saya sehingga mencetuskan keadaan ini," kata Abe sehari sebelum pengumuman rasmi rombakan Kabinet.

Kabinet baharu itu diumumkan oleh Yoshihide Suga, jurucakap tertinggi kerajaan. - AFP

Berita Harian X