Ahad, 30 Julai 2017 | 10:15pm

40 tentera, pemberontak maut bertempur di Yaman

ADEN: Lebih 40 anggota tentera pakatan disokong Arab Saudi dan pemberontak terbunuh akibat pertempuran dalam tempoh beberapa hari di pelabuhan Mokha dekat Laut Merah, kata pihak berkuasa hari ini.

Pertempuran di sekitar pangkalan tentera Khaled Ibn al-Walid kian sengit, sejak tentera kerajaan disokong pakatan diterajui Arab Saudi menawannya daripada pemberontak Houthi pada minggu lalu.

Tentera Yaman mengawal sempadan. - Foto hiasan/AFP
Tentera Yaman mengawal sempadan. - Foto hiasan/AFP

Enam belas militan Houthi dan tujuh tentera terbunuh dalam pertempuran dan serangan udara semalaman di luar Mokha, menurut beberapa pegawai tentera dan saksi di kawasan hospital.

Dua puluh tentera Yaman turut terbunuh dalam serangan pemberontak di pangkalan Khaled di wilayah Taiz yang terletak kira-kira 40 kilometer di timur Mokha pada Khamis lalu, kata pegawai tentera tempatan.

Pelabuhan Mokha di Laut Merah adalah laluan perairan penting untuk perdagangan dan import antarabangsa yang berada di bawah kawalan tentera.

Pakatan diterajui Arab Saudi termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam berkata, Houthi menyerang pelabuhan dengan bot yang dikawal alat kawalan jauh.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan itu, namun pemberontak Syiah mendakwa ia terkena kapal tempur milik UAE. - AFP

Berita Harian X