Rabu, 19 Julai 2017 | 7:33pm
SEKURANG-KURANGNYA 20 penduduk Yaman maut manakala ramai lagi cedera dalam serangan udara oleh pasukan gabungan diketuai Arab Saudi di sebuah perkampungan, di bahagian selatan negara itu.- Foto Reuters
SEKURANG-KURANGNYA 20 penduduk Yaman maut manakala ramai lagi cedera dalam serangan udara oleh pasukan gabungan diketuai Arab Saudi di sebuah perkampungan, di bahagian selatan negara itu.- Foto Reuters

20 orang awam maut dalam serangan udara

DUBAI : Sekurang-kurangnya 20 penduduk Yaman maut manakala ramai lagi cedera dalam serangan udara oleh pasukan gabungan diketuai Arab Saudi di sebuah perkampungan, di bahagian selatan negara itu.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kebanyakan mangsa yang maut dalam serangan itu adalah pelarian tempatan yang mencari perlindungan di sana.

Kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa mengesahkan bahawa 20 orang terkorban termasuk beberapa wanita dan kanak-kanak, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai kejadian itu.

Menteri Hak Asasi Manusia Yaman, Mohammed Askar menggesa campur tangan kerajaan untuk menyiasat dengan terperinci insiden terbabit yang disifatkan sebagai satu kejadian malang manakala jurucakap Houthi, Mohammec Abdul-Salam pula menggambarkan serangan itu sebagai satu jenayah kejam.

Jurucakap Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), Shabia Mantoo berkata, kebanyakan mangsa yang terbunuh adalah dari keluarga yang sama.

Sejak beberapa bulan lalu, pasukan kerajaan yang dibantu pasukan gabungan telah berusaha menawan semula pangkalan tentera utara di kawasan kejadian. Pasukan gabungan diketuai Arab Saudi dibentuk pada 2015 untuk memerangi pemberontak Houthi selepas menawan Sanaa.

Serangan udara pada Selasa lalu adalah yang terbaru dalam siri pengeboman oleh pasukan gabungan ke atas sekolah, hospital, pasar dan kediaman peribadi di seluruh Yaman. - Reuters

Berita Harian X