Ahad, 11 September 2022 | 4:02pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Keranda terapung dalam banjir kilat di utara Bangkok

BANGKOK: Penduduk Saphan Mai terkejut apabila menemui beberapa keranda terapung di penempatan itu ketika banjir kilat melanda Bangkok, Thailand.

Rakaman video memaparkan keranda terapung di Soi Phaholyothin 54 di utara Bangkok itu turut tular di media sosial.

Peti bagi mengusung mayat atau larung itu adalah yang baru dan belum digunakan lagi, dikesan datang dari cawangan 'Burapha Coffins', sebuah kedai menghasilkan keranda berhampiran Saphan Mai.

Menurut pemilik kedai terbabit, kawasan penempatannya dilanda banjir kilat selepas hujan lebat pada Khamis lalu.

Pekerjanya bergegas mengalihkan stok keranda ke tingkat atas premis, namun terlewat dan tidak sempat menghalang dua larung dibawa arus banjir.

Keranda itu akhirnya diambil semula pemilik kedai, namun orang awam yang terlihat kejadian terbabit sempat merakamnya dan memuat naik ke laman Facebook, Saphan Mai.

Pemilik kedai memberitahu, penduduk tempatan sudah biasa dengan perniagaannya dan sudah tentu menyedari bahawa keranda terapung itu adalah dari premisnya.

"Bagaimanapun, saya tetap khuatir sekiranya keranda terbabit terapung sehingga keluar kejiranan ini dan menakutkan orang luar terutama pada waktu malam," katanya. - AGENSI

Berita Harian X