Jumaat, 1 Julai 2022 | 4:45pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Singapura akan gantung seorang lagi rakyat Malaysia

SINGAPURA: Seorang pengedar dadah, warga negara Malaysia akan dihukum gantung di sini, minggu depan, kata juru kempen hari ini, dua bulan selepas seorang lelaki yang menghadapi masalah mental dijatuhkan hukuman sama sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat.

Kalwant Singh, yang disabitkan atas kesalahan mengedar heroin ke negara itu pada 2016 dijadualkan menjalani hukuman mati pada Khamis, kata aktivis dan kumpulan advokasi Rangkaian Anti Hukuman Mati Asia (ADPAN) yang berpangkalan di Singapura.

Singapura berdepan pelbagai gesaan yang terus meningkat bagi memansuhkan hukuman mati, namun negara itu menegaskan bahawa ia telah membantu mengekalkan negara kota itu sebagai salah satu tempat paling selamat di Asia.

Aktivis hak asasi terkemuka di negara itu, Kirsten Han, berkata ahli keluarga Kalwant memberitahunya mengenai hukuman gantung yang akan berlaku.

"Sungguh mengerikan bagaimana Singapura menggandakan hukuman gantung atas kesalahan dadah berulang kali, walaupun penyelidikan gagal mengemukakan bukti konklusif bahawa hukuman mati sebenarnya berfungsi seperti yang didakwa oleh kerajaan Singapura," kata Han kepada AFP.

April lalu, hukuman mati terhadap pengedar dadah kelahiran Malaysia yang kurang upaya mental, Nagaenthran K Dharmalingam, mencetuskan kemarahan yang meluas.

Pengkritik termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah berkata, menggantung seseorang yang kurang upaya intelek melanggar undang-undang antarabangsa.

Kumpulan juru kempen bimbang Singapura dilihat bersedia untuk menjatuhkan lebih banyak hukuman mati dalam beberapa bulan akan datang.

Han berkata, setakat tahun ini, tujuh banduan telah dimaklumkan akan dikenakan hukuman mati.

Dalam wawancara bersama BBC yang disiarkan minggu ini, Menteri Dalam Negeri dan Undang-undang, K Shanmugam, berkata Singapura mengekalkan hukuman mati kerana 'terdapat bukti jelas bahawa ia adalah hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada bakal pengedar dadah'.

Shanmugam turut mempertikaikan isu kesihatan mental yang dihidap Nagaenthran, walaupun suspek mempunyai IQ rendah, iaitu 69, kata pakar perubatan yang mewakili kecacatan intelek.

"Mahkamah mendapati bahawa dia mempunyai niat untuk melakukan jenayah dan dia membuat keputusan yang disengajakan, bertujuan untuk mendapatkan wang dengan cara membawa masuk dadah.

"Pakar psikiatri yang dipanggil oleh pihak pembelaan bersetuju dan mengesahkan bahawa dia tidak cacat dari segi intelek," katanya. - AFP

Berita Harian X