Sabtu, 7 Mei 2022 | 7:38am
Presiden AS, Joe Biden. - Foto fail AFP
Presiden AS, Joe Biden. - Foto fail AFP

Biden patut luang banyak masa bersama pemimpin ASEAN

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden perlu meluangkan lebih banyak masa bersama pemimpin ASEAN ketika sidang kemuncak di Washington, jika pentadbirannya serius mahu meningkatkan hubungan kedua-duanya.

Menteri dan Penasihat kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, Kao Kim Hourn berkata, tiada pertemuan individu dirancang setakat ini membabitkan pemimpin rantau itu dan Biden, ketika 10 pemimpin negara ASEAN dijadual mengadakan pertemuan dengannya pada 12 dan 13 Mei ini.

Kemboja kini mempengerusikan ASEAN dengan lapan pemimpin, termasuk Hun Sen, dijangka menghadiri sidang kemuncak itu.

Pemimpin Myanmar sudah dikecualikan untuk menghadiri pertemuan berkenaan ekoran krisis rampasan kuasa di negara itu tahun lalu, sementara Filipina berada dalam peralihan selepas pilihan raya.

Kim Hourn berkata, pemimpin ASEAN harus dilayan dengan hormat dan saksama serta diberi peluang untuk menghabiskan masa bermanfaatnya bersama Biden.

"Sebagai negara tuan rumah, AS harus lebih bermurah hati kepada pemimpin yang hadir ke Washington, terutamanya ketika (Biden) akan bercakap mengenai meningkatkan perkongsian strategik kepada perkongsian strategik yang komprehensif, " katanya.

Kim Hourn percaya, sudah menjadi amalan biasa bagi Pengerusi ASEAN bertemu dengan pemimpin negara tuan rumah, sama ada secara rasmi atau sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau sudah diberitahu Duta AS ke Kemboja, Patrick Murphy, bahawa tidak ada mesyuarat dua hala dijadualkan, memandangkan kepadatan jadual sidang kemuncak serta kesibukan Biden.

Rumah Putih belum menjawab kenyataan Him Hourn itu, namun Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Pskai memberitahu Biden akan menganjurkan majlis makan malam Rumah Putih untuk pemimpin ASEAN pada Khamis dan mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu pada Jumaat.

Him Hourn berkata, sidang kemuncak itu akan mengiktiraf peranan utama ASEAN dalam menyampaikan penyelesaian mampan kepada cabaran paling mendesak di rantau ini serta memperingati 45 tahun hubungan AS - ASEAN.

Ia akan menjadi sidang kemuncak pemimpin ASEAN pertama dihoskan di Washington serta lawatan ke Rumah Putih pertama untuk Hun Sen, yang sudah memerintah Kemboja sejak 1985 dan sering menghadapi kritikan AS ekoran tindakannya yang menindas perbezaan pendapat dan memenjarakan penentangnya.

Kim Hourn berkata Kemboja, yang mempunyai hubungan ekonomi rapat dengan China, tidak akan berpihak sama ada kepada Washington atau Beijing, memandangkan pelaburan AS di negaranya kini semakin berkembang.

Katanya, begitu juga ASEAN yang bekerjasama dengan AS dan China di bawah prinsip inklusif.

Kim Hourn berkata, Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik Biden masih diteruskan dan Washington kini memberi tumpuan kepada isu domestik dan krisis di Ukraine.

"Terdapat banyak butiran yang kami belum tahu lagi. Kami faham terdapat begitu banyak keutamaan oleh AS yang bersaing dalam agenda global," katanya.

Katanya, Laut China Selatan, di mana anggota ASEAN bersaing dalam tuntutannya dengan China, pastinya akan menjadi agenda dengan Biden, selain isu alam sekitar.

Biden juga dijangka akan mendesak ASEAN melaksana lebih banyak usaha untuk menyokongnya mengasingkan Russia secara diplomatik dan ekonomi ekoran pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.

Kim Hourn berkata, setiap anggota ASEAN mempunyai pendirian berbeza mengenai konflik itu, dan mana-mana kedudukan kolektif ASEAN perlu berasaskan konsensus. - REUTERS.

Berita Harian X