Ahad, 1 Mei 2022 | 9:19am
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Teksi boleh bawa penumpang antara Singapura-Johor Bahru

SINGAPURA: Mulai hari ini, penumpang yang menyeberangi Tambak Johor boleh mendapatkan khidmat sehingga 240 teksi yang dibenarkan untuk membawa penumpang merentasi sempadan darat Singapura-Malaysia.

Kelihatan kerja mengecat bagi tempat meletak kereta di terminal teksi Ban San Street di Rochor menjadi petanda apa yang boleh dijangkakan selepas dua tahun ia terbiar kosong.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata demikian sebagai maklum balas kepada pertanyaan media bahawa ia mempersetujui permit teksi silang sempadan untuk 156 pemandu Malaysia setakat 22 April lalu.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Operator Teksi Singapura-Johor, Teng Kok Tai, 71 tahun, memberitahu The Straits Times bahawa 80 pemandu teksi Singapura dalam persatuannya menerima permit mereka yang diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia.

LTA berkata penumpang dari Singapura yang ingin mengembara dengan teksi silang sempadan boleh menaikinya di terminal Ban San Street atau menghubungi talian hotline ComfortDelGro Taxi, Trans-Cab, Strides Taxi atau Prime Taxi.

Di bawah undang-undang yang ada kini, kenderaan berdaftar luar negara tidak dibenarkan menyediakan khidmat pengangkutan penumpang silang sempadan untuk ditempah tanpa lesen kenderaan khidmat awam.

Ini termasuk kereta sewa swasta serta operator teksi tidak formal dan khidmat kongsi kereta yang mula heboh di media sosial dan pentas pesanan seperti Facebook dan Telegram.

Kekalutan bermula selepas diumumkan bahawa sempadan darat antara Singapura dan Malaysia akan dibuka semula sepenuhnya buat perjalanan golongan divaksin lengkap pada 1 April lalu.

Mereka yang ditangkap menyediakan khidmat penumpang silang sempadan berbayar secara haram akan didenda hingga SGD$3,000 (RM9,442) dan dipenjara hingga enam bulan manakala kenderaan yang digunakan juga mungkin dirampas.

Hanya teksi silang sempadan Singapura berlesen boleh menyeberangi Malaysia dengan mereka boleh pergi hanya ke terminal teksi Larkin di Johor Bahru, di mana mereka boleh menunggu penumpang yang berkunjung ke Singapura.

Seiringan itu, teksi Malaysia memerlukan permit untuk memasuki Singapura dan mereka boleh melalui perjalanan hingga ke terminal teksi Ban San Street saja.

Sebelum COVID-19, teksi silang sempadan mengenakan bayaran tetap dengan perjalanan dari Ban San Street ke Larkin berharga SGD$48 (RM151) bagi setiap teksi.

Kok Tai berkata anggotanya akan mengenakan bayaran yang sama mulai 1 Mei tetapi persatuan sudah memohon kepada Majlis Pengangkutan Awam Singapura (PTC) bagi menaikkan tambang kepada SGD$15 (RM47) setiap orang atau SGD$60 (RM189) setiap teksi.

PTC berkata ia sudah menerima e-mel daripada persatuan itu pada 26 April, memaklumkan majlis itu mengenai rancangannya untuk menaikkan tambang.

Namun, di bawah rangka kerja peraturan yang berkuatkuasa pada Oktober 2020, mereka yang mengendalikan operasi khidmat teksi Singapura-Johor perlu mengemukakan rancangan berkenaan sekurang-kurangnya 28 hari sebelum membuat perubahan tambang, kata PTC.

Mereka juga perlu memaklumkan perubahan sekurang-kurangnya tujuh hari lebih awal, bermakna persatuan itu kemungkinan dapat menaikkan tambang hanya pada 24 Mei atau selepas itu. - AGENSI

Berita Harian X