Rabu, 20 April 2022 | 8:53pm
Gambar hiasan. -Foto AFP
Gambar hiasan. -Foto AFP

Ubat COVID-19 kedua diberi kelulusan awal di Singapura

SINGAPURA: Pil antivirus kedua diberikan kelulusan awal oleh Penguasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) bagi merawat pesakit COVID-19 bertahap sederhana berusia 18 tahun dan ke atas.

Syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), MSD, yang mengeluarkan pil Molnupiravir, diberikan kelulusan di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR), menurut kenyataan HSA semalam.

HSA menjelaskan bahawa ubat itu boleh digunakan oleh mereka yang mempunyai risiko menghadapi jangkitan coronavirus yang teruk atau dimasukkan ke hospital serta pilihan rawatan COVID-19 alternatif tidak bersesuaian untuk mereka.

Pil berkenaan perlu diberikan dalam masa lima hari menghadapi gejala, untuk tempoh selama lima hari.

Ia akan diberikan dan diutamakan untuk mereka yang mempunyai risiko penyakit COVID-19 lebih tinggi.

Penilaian HSA ke atas ubat itu adalah berdasarkan data klinikal kajian fasa kedua dan ketiga, yang menyiasat penggunaan ubat itu bagi mengurangkan risiko kemasukan ke hospital atau kematian pesakit mempunyai tahap COVID-19 sederhana.

Kajian itu dijalankan ke atas 1,400 peserta berusia 18 tahun hingga 90 tahun, yang mempunyai satu atau lebih faktor risiko untuk mengalami COVID-19 lebih teruk.

"Sementara hasil kajian menunjukkan ia mempunyai tahap keberkesanan lebih rendah berbanding rawatan COVID-19 yang lain.

"Ia juga boleh digunakan dalam terapi bagi pesakit berisiko mengalami kesan coronavirus lebih buruk dan rawatan lain di mana ada yang tidak bersesuaian secara klinikal untuk mereka.

"Doktor mesti menilai dengan berhati-hati sama ada manfaat yang berpotensi adalah lebih tinggi berbanding dengan risiko dihadapi pesakit sebelum memulakan rawatan ubat itu," tegas HSA.

Tambah HSA, ia akan secara aktif menyemak semula data pemantauan keselamatan selepas kelulusan diberikan dan data diberikan oleh syarikat MSD bagi memastikan manfaat ubat itu terus melebihi risiko yang diketahui.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata 16 lagi Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) boleh memberikan pil Paxlovid untuk pesakit COVID-19 yang berisiko mengalami penyakit teruk dan dinilai oleh doktor mereka sebagai layak menerima rawatan itu.

Ini adalah tambahan kepada semua poliklinik setempat dan 20 PHPC yang sudah menyertai inisiatif perintis itu.

Buat masa ini, MOH akan menanggung sepenuhnya kos ubat itu, yang diberikan di pusat penjagaan utama tidak kira status vaksinasi pesakit.

Ini kerana ia dapat mengurangkan kemungkinan pesakit berisiko tinggi mengalami gejala COVID-19 yang teruk serta perlu dimasukkan ke hospital.

"Dasar bayaran bagi Paxlovid akan disemak semula pada masa akan datang," kata MOH. - AGENSI

Berita Harian X