Ahad, 13 March 2022 | 9:31pm
Pelancong Russia adalah antara kumpulan pelancong terbesar yang kembali ke pusat peranginan tepi pantai Thailand sejak sekatan COVID-19 dilonggarkan. - Foto AGENSI
Pelancong Russia adalah antara kumpulan pelancong terbesar yang kembali ke pusat peranginan tepi pantai Thailand sejak sekatan COVID-19 dilonggarkan. - Foto AGENSI

Beribu-ribu rakyat Russia bergelut untuk meninggalkan Thailand

BANGKOK: Beribu-ribu pelancong Russia di Thailand sedang bergelut untuk mencari laluan pulang ketika sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas perang di Ukraine melanda mereka yang bercuti.

Pencerobohan Russia pada Februari mencetuskan pelbagai langkah antarabangsa yang menyasarkan perniagaan dan bank dengan beberapa syarikat penerbangan Russia membatalkan penerbangan dan firma pembayaran global menggantung perkhidmatan.

Pelancong Russia adalah antara kumpulan pelancong terbesar yang kembali ke pusat peranginan tepi pantai Thailand sejak sekatan wabak dilonggarkan, tetapi ramai kini mendapati diri mereka tidak mempunyai tiket pulang.

Pegawai Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand, Chattan Kunjara Na Ayudhya, berkata 3,100 warga Russia terperangkap di Phuket, manakala lebih 2,000 berada di Samui dan bilangan yang lebih kecil berada di Krabi, Phang Nga dan Bangkok.

Kementerian sedang berusaha untuk membantu mereka yang ingin pulang ke tanah air termasuk perbincangan mengenai penerbangan balik yang boleh menjadi penerbangan biasa atau penerbangan khas.

Bagi pelancong Russia dan ibu kepada tiga anak, Evgenia Gozorskaia, berkata keluarganya mendapati tiket Aeroflot pulang mereka telah dibatalkan.

"Kami sangat gementar kerana anak-anak sangat kecil tidak mempunyai wang yang cukup untuk tinggal di sini.

"Kami mahu pergi ke lapangan terbang esok, tetapi saya tidak tahu bagaimana keadaannya," katanya sambil menambah bahawa mereka sepatutnya terbang pulang pada 28 Mac.

Walaupun Thailand tidak menyekat penerbangan Russia, sekatan ruang udara antarabangsa menyaksikan beberapa firma seperti Aeroflot membatalkan perkhidmatan, meninggalkan pelancong mencari laluan alternatif, seperti melalui Asia Barat dengan syarikat penerbangan yang berbeza.

Ramai pelancong juga berdepan masalah kad Visa dan Mastercard yang digantung operasi.

Presiden Persatuan Pelancong Phuket, Bhummikitti Ruktaengam, berkata pegawainya sedang mempertimbangkan untuk mengguna pakai sistem Mir iaitu struktur pemindahan dana elektronik Russia serta mata wang digital.

Kira-kira 23,000 warga Russia pergi ke Thailand pada Januari tahun ini, menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan negara itu. - AFP

Berita Harian X