Isnin, 21 Februari 2022 | 10:19am
Pakar memberi amaran kes harian COVID-19 di Thailand boleh mencecah 100,000 berikutan subvarian BA.2 Omicron merebak pantas di negara itu. - Foto Agensi
Pakar memberi amaran kes harian COVID-19 di Thailand boleh mencecah 100,000 berikutan subvarian BA.2 Omicron merebak pantas di negara itu. - Foto Agensi

Pakar beri amaran angka harian COVID-19 Thailand mungkin cecah 100,000 kes

BANGKOK: Pakar virologi Thailand, Dr Yong Poovorawan memberi amaran kes harian COVID-19 boleh mencecah 100,000 berikutan subvarian BA.2 Omicron merebak pantas di negara itu.

Data pada 5 hingga 11 Februari lalu menunjukkan sebanyak 500 daripada 1,975 kes jangkitan Omicron atau 18.5 peratus adalah subvarian BA.2.

Dr Yong, pakar virologi kanan Universiti Chulalongkorn berkata, secara purata 25,000 kes COVID-19 dilaporkan setiap hari, termasuk mereka yang diuji positif menggunakan kit ujian antigen (RTK).

Data itu menunjukkan, kadar jangkitan sebanyak 10 kali ganda berbanding ketika empat gelombang sebelum ini.

"Memandangkan Thailand kini berdepan gelombang kelima, saya berharap kadar jangkitan tidak meningkat kepada enam angka," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand merekodkan 18,953 kes baharu COVID-19 dengan 30 kematian menjadikan jumlah kumulatif terkini sebanyak 2,712,315 dan 22,624 korban.

Beliau berkata, subvarian BA.2 Omicron terus menular dengan purata 15,000 kes dilaporkan di Singapura, manakala kes harian baharu di Korea Selatan melebihi 100,000 buat pertama kali pada 18 Februari lalu.

"Thailand mungkin menerima nasib sama. Pada masa ini, wabak COVID-19 berada pada trend peningkatan Asia… ia akan mencapai kemuncak sebelum kembali stabil dan bilangan kes baharu perlahan-lahan menurun seperti di Eropah dan Amerika Syarikat," katanya.

Dr Yong menggesa orang ramai yang positif COVID-19 supaya kuarantin kendiri di rumah atau mengelak berada di kawasan awam bagi membendung penularan virus itu. - BERNAMA

Berita Harian X