Rabu, 19 Januari 2022 | 9:18pm
Sekolah daif mendapat bantuan agensi awam. - Foto hiasan
Sekolah daif mendapat bantuan agensi awam. - Foto hiasan

Bank Dunia lulus dana pendidikan Kemboja

PHNOM PENH: Bank Dunia meluluskan pembiayaan baharu untuk membantu Kemboja meningkatkan akses yang adil kepada pendidikan asas, menurut badan itu dalam kenyataan akhbarnya pada Rabu, lapor Xinhua.

Bank Dunia akan memberikan kredit US$60 juta melalui Persatuan Pembangunan Antarabangsanya kepada Kemboja, kata kenyataan itu.

Pembiayaan itu akan menyokong Projek Peningkatan Pendidikan Am selama lima tahun, yang bertujuan mewujud dan membangunkan sumber manusia untuk pembangunan masyarakat yang berasaskan pengetahuan di negara Asia Tenggara itu.

"Kemboja sudahpun berjaya dalam memperluas akses kepada pendidikan, namun akses kepada pendidikan yang adil untuk kumpulan kanak-kanak tertentu, seperti mereka yang tinggal di kawasan terpencil, datang daripada keluarga miskin atau komuniti etnik minoriti, dan mereka yang hidup kurang upaya, masih perlu ditangani," kata Pengurus Negara Bank Dunia untuk Kemboja, Maryam Salim.

"Selain itu, pembelajaran pelajar juga banyak terjejas berikutan penutupan berpanjangan sekolah akibat pandemik COVID-19. Kami amat berharap projek itu akan menangani cabaran ini dan dibangunkan semula dengan lebih baik," katanya.

Aktiviti utama projek itu termasuk melaksanakan program pengurusan berasaskan sekolah, menyediakan pembangunan kapasiti guru, pemimpin sekolah, jurulatih guru dan kakitangan pendidikan, dan menambah baik persekitaran pembelajaran, kata kenyataan akhbar itu.

Ia termasuk untuk pembinaan dan pemulihan bangunan sekolah, makmal sains, institusi latihan guru, asrama guru, dan sekolah pendidikan khas, pembelian peralatan teknologi pendidikan, serta sokongan untuk pelajar kurang upaya, tambahnya. – BERNAMA

Berita Harian X