Ahad, 19 Disember 2021 | 5:45pm
Penduduk kampung Supit Urang di Lumajang berdekatan Gunung Semeru di Indonesia mula berpindah susulan aktiviti gunung berapi kembali meningkat. - Foto AFP
Penduduk kampung Supit Urang di Lumajang berdekatan Gunung Semeru di Indonesia mula berpindah susulan aktiviti gunung berapi kembali meningkat. - Foto AFP

Indonesia bimbang letusan baharu Gunung Semeru

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menaikkan tahap amaran Gunung Semeru mungkin meletus lagi selepas letusan awal bulan ini mengorbankan 48 mangsa.

Agensi geologi Indonesia hari ini berkata gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa itu menunjukkan tanda-tanda semakin aktif.

"Ini boleh mencetuskan muntahan lahar dan pelepasan gas panas meningkat, seperti mana yang terjadi pada 4 Disember lalu," katanya.

Letusan yang dikesan setakat ini berlaku selepas oleh hujan monsun lebat yang meruntuhkan sebahagian kubah lahar di gunung setinggi 3,676 meter itu.

Menteri Tenaga Dan Sumber Mineral, Arifin Tasrif, berkata kawasan baharu mungkin terjejas sekiranya berlaku letusan lagi.

"Ini kerana kira-kira lapan juta meter padu pasir dari kawah gunung berapi itu menyekat Sungai Besuk Kobokan, yang berada dalam laluan aliran lahar.

"Jika berlaku lagi letusan, ia akan menyekat laluan aliran dan mewujudkan aliran baharu lahar merebak ke kawasan sekitar.

"Justeru, kerajaan sudah menyediakan peta kawasan bahaya baharu dan menggesa orang ramai mematuhinya kerana amaran sudah ditingkatkan ke tahap kedua tertinggi," katanya.

Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologikal (PVMBG), Andiani, berkata penduduk kampung yang tinggal di cerun Semeru dinasihatkan tidak melakukan sebarang kegiatan dalam lingkungan 13 kilometer dari kawah gunung berapi itu.

Beliau turut menghentikan kegiatan pelancongan dan perlombongan sepanjang kawasan tadahan air Besuk Kobokan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada Jumaat lalu dengan 36 orang masih belum ditemui manakala lebih 100 orang cedera, 22 daripadanya melecur teruk.

Sementara itu, jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Negara, Abdul Muhari, berkata lebih 5,200 rumah dan bangunan rosak susulan letusan berkenaan.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang melawat kawasan bencana minggu lalu, menjanjikan pembangunan semula infrastruktur termasuk membina semula jambatan menghubungkan pekan paling teruk terjejas, Lumajang, ke bandar lain. - AGENSI

Berita Harian X