Khamis, 8 April 2021 | 11:12am
Duta Besar Myanmar ke UK, Kyaw Zwar Minn, tidak dibenarkan masuk ke pejabatnya di bangunan kedutaan di London. - Foto AFP
Duta Besar Myanmar ke UK, Kyaw Zwar Minn, tidak dibenarkan masuk ke pejabatnya di bangunan kedutaan di London. - Foto AFP

Penunjuk perasaan kumpul depan Kedutaan Myanmar di Britain

LONDON: Penunjuk perasaan berkumpul di luar Kedutaan Myanmar di United Kingdom (UK) selepas laporan duta besar bahawa bangunan itu dikunci dan beliau dilarang daripada memasukinya.

Duta Besar Myanmar ke UK, Kyaw Zwar Minn, memberitahu Daily Telegraph bahawa tentera Myanmar telah mengambil alih misi diplomatik.

"Ketika saya meninggalkan kedutaan, mereka menyerang kedutaan dan mengambilnya, mereka ialah dari tentera Myanmar.

"Mereka mengatakan mendapat arahan dari Yangon, jadi mereka tidak akan membiarkan saya masuk.

"Mereka tidak boleh melakukan perkara ini. Kerajaan Britain tidak akan membenarkan perkara ini berlaku dan anda akan melihatnya," katanya.

Pejabat Luar Britain enggan mengesahkan atau menolak laporan berkenaan.

Polis Metropolitan berkata mereka menyedari protes di luar bangunan di kawasan kejiranan Mayfair dan pegawai ketenteraman awam berada di kawasan berkenaan.

Britain mengkritik tentera Myanmar sejak perebutan kuasa Februari lalu dan minggu lalu terdapat peningkatan sekatan terhadap konglomerat perniagaan yang sepenuhnya atau sebahagiannya dikuasai jeneral tentera Myanmar. - AFP

Berita Harian X