Khamis, 8 April 2021 | 10:28am
Penunjuk perasaan dilihat sedang berarak di Dawei, Myanmar, membantah rampasan kuasa oleh junta tentera. - Foto AFP
Penunjuk perasaan dilihat sedang berarak di Dawei, Myanmar, membantah rampasan kuasa oleh junta tentera. - Foto AFP

13 penunjuk perasaan Myanmar dibunuh

YANGON: Tembakan rambang pasukan keselamatan Myanmar semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 17 penunjuk perasaan terbunuh dan beberapa cedera.

Media tempatan melaporkan, beberapa letupan kecil turut kedengaran di wilayah komersial Yangon dan sebuah kilang milik China dibakar.

Kebakaran berlaku di syarikat milik China, JOC Garment Factory di Yangon semalam, menurut laporan Jabatan Bomba tetapi tiada mangsa yang cedera manakala tahap kemusnahan belum diketahui.

Di sebuah kejiranan lain di Yangon, beberapa paparan Facebook menunjukkan aktivis membakar bendera China.

China menjadi sasaran kerana dilihat sebagai menyokong junta tentera Myanmar dan minggu lalu, terdapat laporan mengenai cubaan membakar 32 syarikat berkepentingan China di Yangon.

Junta tentera berkata tindakan ketidakpatuhan sivil yang lebih dikenali sebagai pergerakan CDM, sedang memusnahkan Myanmar.

Pegawai kanan tentera, Jeneral Min Aung Hlaing, yang mengetuai junta, berkata pergerakan CDM menyebabkan operasi hospital, sekolah, pejabat dan kilang terhenti manakala laluan lebuh raya utama disekat.

"Walaupun negara jiran dan dalam kalangan masyarakat antarabangsa turut menyaksikan protes, mereka tidak memusnahkan perniagaan.

"Bagaimanapun, perbuatan CDM ini boleh memusnahkan negara," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, pasukan keselamatan melepaskan tembakan secara rambang terhadap penunjuk perasaan di bandar Kale, ketika protes menuntut kerajaan demokratik pimpinan Aung San Suu Kyi dikembalikan.

Sekurang-kurangnya tujuh letupan juga dilaporkan kedengaran di Yangon, termasuk di bangunan kerajaan, hospital tentera dan pusat beli-belah tetapi tiada kecederaan dilaporkan atau mana-mana pihak mengaku bertanggungjawab.

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Yangon berkata ia menerima laporan bahawa mercun yang menghasilkan bunyi diletupkan tetapi ia tidak mengakibatkan kerosakan besar.

Menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), 581 orang termasuk puluhan kanak-kanak mati ditembak pasukan keselamatan sepanjang prote hampir setiap hari sejak 1 Februari lalu.

Sementara itu, pihak berkuasa turut menahan hampir 3,500 orang dengan 2,750 masih kekal dalam tahanan.

Junta tentera juga mengeluarkan ratusan waran tangkap minggu ini, menyasarkan selebriti media sosial, penghibur, artis dan pemuzik yang menyokong tunjuk perasaan di Myanmar. - AFP

Berita Harian X