Sabtu, 20 March 2021 | 11:10pm
Pertembungan dengan penunjuk perasaan prodemokrasi sebentar tadi memaksa polis Thailand menggunakan meriam air bagi menyuraikan mereka. - Foto EPA
Pertembungan dengan penunjuk perasaan prodemokrasi sebentar tadi memaksa polis Thailand menggunakan meriam air bagi menyuraikan mereka. - Foto EPA

Penunjuk perasaan Thailand bertempur dengan polis

BANGKOK: Polis Thailand menggunakan meriam air dan peluru getah di luar Istana Besar Bangkok hari ini selepas penunjuk perasaan merempuh sekatan ketika protes bagi menuntut rombakan sistem diraja.

Ini adalah pertembungan terbaru sejak tunjuk perasaan gerakan prodemokrasi Thailand bermula pada Julai lalu, rombakan pentadbiran Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, pindaan Perlembagaan digubal tentera dan sistem monarki.

Namun tuntutan paling kontroversi mereka adalah untuk reformasi monarki, termasuk penghapusan undang-undang fitnah Raja dan keluarga diraja.

Hadangan menggunakan kontena di Sanam Luang, kawasan bersejarah di hadapan istana, untuk mengekang penunjuk perasaan cuba dialihkan oleh mereka menggunakan tali.

"Anda melanggar undang-undang!" kata polis ketika penunjuk perasaan terus menggunakan tali untuk menarik kontena itu.

Selepas penunjuk perasaan melintasi hadangan, mereka melempar Molotov ke arah puluhan polis yang berdiri sejauh 100 meter, berhampiran trak meriam air yang diacukan terhadap penunjuk perasaan bagi menyuraikan mereka.

Polis kemudian bertindak menghampiri penunjuk perasaan, melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata, sambil mengumumkan mereka akan menahan semua yang terbabit.

Pada jam 8.30 malam, kebanyakan penunjuk perasaan bersurai, dengan hanya aktivis tegar masih berada di tempat kejadian.

Undang-undang melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarganya dari fitnah, namun ia dikritik kumpulan hak asasi kerana membawa hukuman penjara hingga 15 tahun, walaupun bagi kesalahan yang remeh.

Awal hari ini, polis menyerbu syarikat penerbit tempatan, Same Sky Books dan menyita 100 salinan buku kontroversi oleh peguam hak asasi manusia terkemuka, Anon Numpa, yang berjudul 'Institusi Monarki dalam Masyarakat Thailand.

"Langkah selanjutnya adalah kita akan meminta pakar memeriksa kandungannya sama ada ia melanggar undang-undang," kata Mejar Polis Thailand, Trirong Prasopmongkol. - AFP

Berita Harian X