Khamis, 25 Februari 2021 | 4:34pm
Pasukan penyelamat melakukan pencarian terhadap pelombong yang tertimbus akibat runtuhan lombong emas di kampung Buranga, tengah Sulawesi. - Foto AFP
Pasukan penyelamat melakukan pencarian terhadap pelombong yang tertimbus akibat runtuhan lombong emas di kampung Buranga, tengah Sulawesi. - Foto AFP

3 terkorban, ramai terperangkap lombong emas runtuh di Sulawesi

JAKARTA: Pekerja penyelamat meneruskan usaha mencari sekurang-kurangnya lima pelombong yang terperangkap dalam runtuhan lombong emas haram di Pulau Sulawesi yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, semalam.

Pegawai penyelamat memberitahu, usaha mencari dan menyelamat semalam menemukan tiga mayat dan berjaya menyelamatkan 15 mangsa yang masih hidup dari sisa runtuhan lombong itu.

Runtuhan lombong itu berlaku sejurus kejadian tanah runtuh di kampung Buranga selepas hujan lebat selama beberapa hari.

Pegawai menyatakan, struktur kayu tidak kuat menyebabkan runtuhan itu selepas kedudukan tanah tidak stabil, menimbus pekerja dalam lombong itu.

Pasukan penyelamat terdiri daripada polis, tentera dan agensi bencana tempatan mengerahkan jentera berat untuk membantu pencarian.

Pegawai memberitahu, keadaan tanah yang tidak stabil boleh menyebabkan berlaku runtuhan baharu yang menghalang pencarian lima lagi mangsa yang masih hilang.

Bagaimanapun, laporan media tempatan menyatakan, mangsa yang terperangkap mungkin lebih daripada lima orang seperti dilaporkan.

Anggota penyelamat menggunakan dua jentera penggorek dan peralatan pertanian untuk mencari mangsa.

Operasi lombong haram lazim berlaku di Indonesia, menjadi sumber mata pencarian ribuan orang miskin di negara itu, mendedahkan mereka kepada risiko kecederaan serius atau kematian.

Indonesia kini menyumbang sekitar tiga peratus dari pengeluaran emas dunia yang mana sebahagian besar hasil emas dunia dikuasai lombong Grasberg di wilayah Papua, yang dikatakan lombong emas terbesar di dunia, dengan simpanan AS$50.1 bilion (RM202 bilion) membabitkan 20,000 pekerja.

Kewujudan lombong haram terus berlaku dan jumlahnya semakin meningkat di Asia dan Afrika.

Kajian oleh pasukan petugas - Forum Antara Kerajaan mengenai Perlombongan, Mineral, Logam dan Pembangunan Lestari - mendapati jumlah yang terbabit dalam perlombongan itu meningkat menjadi lebih 40 juta berbanding 30 juta yang dicatatkan 2014. - AGENSI

Berita Harian X