Selasa, 5 Januari 2021 | 8:34pm
Blogger Pham Chi Dung (kanan), Nguyen Tuong Thuy (kiri) dan Le Huu Minh Tuan (tiga dari kiri) ketika perbicaraan terhadap mereka di mahkamah bandar raya Ho Chi Minh. - Foto EPA
Blogger Pham Chi Dung (kanan), Nguyen Tuong Thuy (kiri) dan Le Huu Minh Tuan (tiga dari kiri) ketika perbicaraan terhadap mereka di mahkamah bandar raya Ho Chi Minh. - Foto EPA

Vietnam penjara tiga pengkritik

HANOI: Vietnam hari ini memenjarakan tiga blogger prodemokrasi atas tuduhan anti negara, kata salah seorang peguam mereka, beberapa minggu menjelang kongres parti komunis.

Menjelang peralihan kepemimpinan akhir bulan ini adalah tempoh sangat tegang bagi negara itu kerana calon bersaing meraih sokongan untuk berkuasa secara tertutup.

Beberapa bulan kebelakangan ini, rejim yang memegang tampuk kuasa meningkatkan tindakan kerasnya terhadap perbezaan pendapat dan menahan ramai pengkritik.

Pada perbicaraan ringkas di bandar Ho Chi Minh, tiga pengkritik tergolong dalam Persatuan Wartawan Bebas Vietnam (IJAV) dipenjara kerana 'membuat dan menyebarkan maklumat menentang' Vietnam.

Penulis berprofil tinggi, Pham Chi Dung, 54, ahli Pengasas dan Presiden IJAV, dipenjara 15 tahun, manakala veteran tentera, Nguyen Tuong Thuy, 69, dan Le Huu Minh Tuan, masing-masing dipenjara 11 tahun.

Ketiga-tiga individu terbabit terkenal kerana menuntut demokrasi lebih baik di Vietnam.

Peguam Nguyen Van Mieng memberitahu AFP, mereka mengakui menulis artikel 'untuk menyokong kebebasan bersuara dan demokratik lain', tetapi menafikan menyebarkan maklumat menentang rejim komunis.

Mengikut keputusan mahkamah yang dilaporkan media negara, semua mereka 'selalu berkomunikasi dengan penentang rejim' sebelum ditahan pada akhir 2019 dan pertengahan 2020.

"Pemimpin IJAV, Dung menulis artikel untuk agensi media asing 'bertujuan mengubah sistem politik Vietnam'.

"Tingkah laku defendan menimbulkan 'bahaya kepada masyarakat... menyebabkan perpecahan dalam kesatuan sosial dan orang ramai'," katanya.

Keputusan itu ditentang hebat kumpulan hak asasi manusia antarabangsa. - AFP

Berita Harian X