Rabu, 11 November 2020 | 7:02pm
Langur Popa, dinamakan sempena satu gunung berapi yang sudah pupus, disahkan wujud sejak sejuta tahun lalu. - Foto AFP
Langur Popa, dinamakan sempena satu gunung berapi yang sudah pupus, disahkan wujud sejak sejuta tahun lalu. - Foto AFP

Spesis monyet 'menghadapi kepupusan' ditemui di Myanmar

PARIS: Saintis menemui satu spesies baharu primat yang menghuni pedalaman hutan di Myanmar, dan memiliki muka seakan bertopeng dengan bulu berwarna kelabu.

Spesies dikenali sebagai langur Popa, dinamakan sempena satu gunung berapi yang sudah pupus, disahkan wujud sejak sejuta tahun lalu, dedah satu kajian diterbitkan hari ini.

Dengan bilangan hanya sekitar 200 hingga 250 ekor hari ini, pakar menyarankan supaya spesis haiwan herbivor itu dikategorikan sebagai sangat terancam.

"Seperti dijelaskan, langur Popa ini berdepan masalah kepupusan yang amat serius," kata pengarang kanan Frank Momberg, penyelidik Flora dan Fauna Antarabangsa (FFI) di Yangon.

Monyet kecil dengan lingkaran putih di sekeliling mata itu berdepan ancaman pemburu haram dan kehilangan habitat, kata Momberg dalam satu kenyataan.

Bukti pertama penemuan spesies baharu itu tidak berlaku di dalam hutan, sebaliknya di bahagian belakang Muzium Sejarah Semulajadi London, apabila analisis genetik mendedahkan bahawa spesimen dikumpul lebih seabad lalu ketika Burma masih koloni British adalah sesuatu yang baharu.

Contoh najis Popa yang dikumpul Momberg dan ahli pasukannya dari dalam hutan menyamai spesimen di muzium dan membuktikan bahawa langur tidak dikenali itu masih wujud.

Monyet jarang ditemui itu berjaya dirakam buat pertama kali pada 2018, bersama warna bulu dan tanda yang agak jelas.Trachypithecus popa, atau nama pendekya T. popa, memiliki perut berwarna kelabu kecoklatan dan putih, dengan sepasang tangan termasuk pergelangan hitam, yang kelihatan seperti sarung tangan.

Ekor halusnya yang berukuran hampir satu meter adalah lebih panjang dari badan haiwan itu sendiri, dengan berat hampir lapan kilogram setiap seekor. - AFP

Berita Harian X