Ahad, 11 Oktober 2020 | 12:59pm
Sekurang-kurangnya 17 penumpang terbunuh dan lebih 12 yang lain cedera dalam insiden pertembungan antara sebuah bas dan kereta api di Thailand, pagi tadi. - Foto AFP
Sekurang-kurangnya 17 penumpang terbunuh dan lebih 12 yang lain cedera dalam insiden pertembungan antara sebuah bas dan kereta api di Thailand, pagi tadi. - Foto AFP

20 maut bas-kereta api bertembung di Thailand

BANGKOK: Kira-kira 20 individu maut manakala puluhan lagi cedera selepas bas pelancong dinaiki mereka bertembung dengan kereta api di wilayah Chachoengsao yang terletak 50 kilometer (km) di timur Bangkok, pagi tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan di lintasan landasan kereta api berhampiran stesen kereta api Chachoengsao.

Berdasarkan maklumat awal daripada polis daerah, bas terbabit membawa 60 penumpang dalam perjalanan ke sebuah kuil di wilayah Cha Choeng Sao, kira-kira dua jam dari Bangkok, untuk menghadiri keramaian Buddha, Wan Khao Phansa.

Gabenor Chachoengsao, Maitree Traitilanansaid, berkata kemalangan berlaku apabila bas sedang melintasi landasan kereta api.

"Siasatan awal mendapati kereta api itu sudah membunyikan wisel. Tetapi pemandu bas berkenaan terus memandu dan melintasi landasan. Akibatnya, bas itu dirempuh oleh kereta api berkenaan.

"Sekurang-kurangnya 20 individu terbunuh manakala 30 lagi cedera akibat kemalangan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Gambar di lokasi kejadian yang dirakamkan pasukan penyelamat menunjukkan serpihan besi bertaburan di merata tempat, manakala mayat bergelimpangan di tepi laluan kereta api bersama pelbagai bagasi penumpang.

Bas malang itu pula dalam keadaan mengerikan, dengan bumbung musnah manakala kerangka sisinya terbengkok, dipercayai berikutan impak kuat akibat daripada pertembungan itu.

Pasukan penyelamat memaklumkan khidmat kren diperlukan untuk mengangkat bas berkenaan, sementara angka korban dan mereka yang cedera dijangka terus meningkat.

Kemalangan sedemikian adalah insiden yang lazim di Thailand, malah kebanyakan daripadanya berpunca daripada memandu laju, mabuk dan kelemahan aspek penguatkuasaan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kematian di jalan raya.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2018, Thailand merekodkan kadar kematian jalan raya kedua tertinggi di dunia.

Walaupun majoriti mangsa terdiri daripada penunggang motosikal, kemalangan bas yang membabitkan kumpulan pelancong dan pekerja asing sering 'menghiasi' tajuk pada dada akhbar.

Pada Mac 2018, sekurang-kurangnya 18 terbunuh dan lebih 12 yang lain cedera apabila bas dinaiki mereka, selepas pulang dari bercuti di timur laut Thailand, terbabas ke bahu jalan sehingga melanggar pokok. -AFP

Berita Harian X