Jumaat, 25 September 2020 | 7:59pm
Agensi penguatkuasaan undang-undang ASEAN perlu tingkatkan permuafakatan bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang baharu. - Foto hiasan/AFP
Agensi penguatkuasaan undang-undang ASEAN perlu tingkatkan permuafakatan bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang baharu. - Foto hiasan/AFP

Kukuhkan kerjasama ASEAN perangi jenayah rentas sempadan - Vietnam

HANOI: Agensi penguatkuasaan undang-undang ASEAN perlu tingkatkan permuafakatan bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang baharu.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Luar Kementerian Keselamatan Umum Vietnam, Leftenan Jeneral Nguyen Thanh Son, berkata keperluan itu semakin mendesak berikutan pandemik COVID-19, yang menyaksikan jenayah turut meningkat.

Beliau dipetik berkata demikian oleh agensi berita Vietnam, ketika berucap pada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Transnasional Ke-20 (SOMTC-20) yang diadakan secara maya kelmarin.

"Jenayah siber, penggodaman komputer, penyebaran berita palsu, jenayah teknologi tinggi dan penyeludupan serta pemerdagangan manusia semakin berleluasa di saat seluruh dunia bergelut dengan pandemik COVID-19.

"Justeru, semua agensi penguatkuasaan di rantau ASEAN disaran meningkatkan kepercayaan dan perkongsian maklumat antara satu sama lain.

"Sehubungan itu, saya mencadangkan penubuhan pasukan kawalan bersama dan mengadakan dokumen perundangan bagi mencipta rangka kerja khusus mengenai kerjasama dalam blok ASEAN selain bersama rakan dialog dari negara lain," katanya.

Vietnam juga akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Transnasional Ke-14 (AMMTC-14) pada pertengahan November ini.

Sehubungan itu, Kementerian Keselamatan Umum Vietnam komited untuk menyelaraskan rangkaian kerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang ASEAN.

Kata Thanh Son, ia bertujuan menangani isu lebih besar pada serantau dan ancaman global yang boleh menggugat keamanan, keselamatan serta kestabilan ASEAN.

Menurutnya, kementerian terbabit akan terus berusaha mempromosikan perpaduan Komuniti ASEAN di setiap negara dan pada peringkat serantau.

Pada SOMTC-20 dipengerusikan Filipina, semua delegasi berkongsi pandangan berhubung usaha nasional, serantau dan antarabangsa dalam memerangi jenayah rentas sempadan, dengan mengambil kira kekangan akibat pandemik COVID-19.

Filipina turut menggesa semua delegasi saling bekerjasama dalam pelaksanaan strategi untuk memerangi jenayah antarabangsa bagi tahun 2020-2025. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X