Ahad, 13 September 2020 | 3:45pm
Thailand mencuri tumpuan dengan membuka 'kafe di dalam kapal terbang', seolah-olah pelanggan sedang menikmati hidangan di atas pesawat. - Foto AFP
Thailand mencuri tumpuan dengan membuka 'kafe di dalam kapal terbang', seolah-olah pelanggan sedang menikmati hidangan di atas pesawat. - Foto AFP

Kafe atas pesawat, curi tumpuan ramai

BANGKOK: Ketika jutaan penduduk dunia terkandas di rumah berikutan pandemik COVID-19, Thailand mencuri tumpuan dengan membuka 'kafe di dalam kapal terbang', seolah-olah pelanggan sedang menikmati hidangan di atas pesawat.

Kafe terletak di bandar pesisir, Pattaya itu menggunakan sebuah rangka kapal terbang komersial lama dan penggemar kopi akan duduk dengan selesa di tempat duduk kelas pertama.

Mereka turut diberikan pas masuk dan sebahagian pelanggan turut memilih untuk melakukan lawatan di kokpit.

Salah seorang pelanggan berusia 26 tahun, Thipsuda Faksaithong, berkata kepada AFP, pengalaman berada di kafe itu sangat mengujakan.

"Saya merasai pengalaman berada di pesawat penerbangan kelas pertama dan turut berpeluang berada di kokpit.

"Seolah-olah saya adalah kapten pesawat ini," katanya.

Sementara itu, syarikat penerbangan nasional di Bangkok, Thai Airways turut memperkenalkan konsep sama.

Salah seorang pelanggan, Intrawut Simapichet, 38, yang mengunjungi kafe itu bersama isteri dan anaknya berkata, pengalaman berada di dalam pesawat itu lebih daripada menikmati sebuah hidangan makanan.

"Sebelum ini, saya adalah individu yang banyak mengembara, tetapi apabila terpaksa duduk di rumah, situasi itu sedikit sebanyak agak memberi tekanan.

"Kafe ini memberikan sedikit kelegaan selepas sekian lama tidak menaiki pesawat," katanya.

Untuk rekod, Thailand adalah negara pertama selepas China yang mengesan kes COVID-19.

Bagaimanapun, jumlah kes COVID-19 di negara itu cuma kira-kira 3,400 jangkitan dengan 58 kematian.

Sekatan perjalanan telah mengakibatkan ekonomi khususnya bagi sektor pelancongan merudum termasuk Thailand yang turut terjejas kerana perintah kuarantin diwajibkan bagi kebanyakan negara bagi golongan pengembara.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Thailand sedang mempertimbangkan pelaksanaan gelembung perjalanan dengan negara terpilih khususnya membabitkan kadar kes COVID-19 yang rendah. - AFP

Berita Harian X