Rabu, 9 September 2020 | 10:34am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

PBB: COVID-19 ancam nyawa jutaan kanak-kanak

PARIS: Gangguan perkhidmatan kesihatan akibat pandemik COVID-19 menyebabkan jutaan nyawa berdepan risiko di seluruh dunia, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB turut memberi amaran bahawa COVID-19 mungkin memberi kesan negatif pada kemajuan yang dicapai selama ini dalam usaha mengurangkan kematian kanak-kanak.

Tempoh 30 tahun lalu menyaksikan kemajuan luar biasa dalam usaha mengelak atau merawat punca kematian bayi, termasuk kelahiran bayi pramatang dan pneumonia.

Anggaran kematian baharu yang diterbitkan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kumpulan Bank Dunia merekodkan angka terendah kematian kanak-kanak bawah lima tahun global pada tahun lalu.

Tahun lalu, kira-kira 5.2 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat penyakit yang boleh dielakkan, berbanding 12.5 juta pada 1990.

Bagaimanapun, badan itu turut memberi amaran bahawa pandemik ketika ini berisiko menyebabkan segala usaha sebelum ini sia-sia apabila perkhidmatan rutin kanak-kanak dan ibu mengandung dihadkan.

Tinjauan UNICEF di 77 negara mendapati 68 peratus melaporkan terdapat gangguan dalam pemeriksaan kesihatan dan imunisasi kanak-kanak.

Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore, berkata kanak-kanak dan golongan ibu, khususnya di negara berpendapatan rendah dan menengah, tidak mendapat akses penjagaan kesihatan berikutan kes COVID-19 memenuhi infrastruktur nasional.

"Komuniti global sudah jauh ke depan dalam mengatasi kematian kanak-kanak akibat penyakit yang boleh dielakkan, untuk membenarkan pandemik menyebabkan kita keluar daripada landasan.

"Tanpa pelaburan segera untuk memulakan kembali sistem dan perkhidmatan kesihatan yang terjejas, jutaan kanak-kanak di bawah usia lima tahun, khususnya bayi baru lahir, mungkin meninggal dunia," katanya.

Satu model dibangunkan Johns Hopkins University awal tahun ini mendapati hampir 6,000 kanak-kanak mungkin meninggal dunia setiap hari jika gangguan penjagaan kesihatan akibat COVID-19 berterusan untuk jangka masa sederhana. - AFP

Berita Harian X