Rabu, 26 Ogos 2020 | 11:32am
Foto hiasan
Foto hiasan

Indonesia arah siap siaga darurat

JAKARTA: Enam wilayah di Indonesia diletakkan dalam status siap siaga bagi menghadapi darurat berikutan kebakaran hutan.

Enam wilayah sudah ditetapkan dalam status siap siaga iaitu Riau (11 Februari hingga 31 Oktober), Sumatera Selatan (20 Mei hingga 31 Oktober), Jambi (29 Jun hingga 26 September), Kalimantan Barat (2 Julai hingga 30 November), Kalimantan Tengah (1 Julai hingga 28 September) dan Kalimantan Selatan (1 Julai hingga 30 November), menurut Portal Kompas.

Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Badan Nasional Bencana (BNPB), Raditya Jati berkata, tempoh siap siaga darurat berbeza untuk setiap daerah.

Difahamkan, seramai 6,000 sukarelawan dikerahkan ke enam daerah terbabit dengan setiap satunya mendapat bantuan 1,000 sukarelawan terdiri daripada anggota angkatan tentera Indonesia dan polis sebanyak 40 peratus daripada jumlah itu, anggota bomba (20 peratus), orang awam (30 peratus) dan selebihnya campuran daripada pelbagai pihak.

Katanya, pemilihan wilayah terbabit sebagai kawasan darurat adalah berdasarkan titik panas, Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU), bilangan individu dijangkiti akibat penyakit saluran pernafasan akut (ISPA), jarak pandang serta tempoh musim kemarau.

"Kesan kebakaran di Riau membabitkan kawasan seluas 90.6 hektar, Sumatera Selatan (336.8 hektar) dan Jambi (56.6 hektar) manakala, kawasan terjejas di Kalimantan Barat membabitkan keluasan 152 hektar, Kalimantan Tengah (318 hektar) dan 138 hektar di Kalimantan Selatan," katanya.

Kaedah digunakan dalam operasi memadamkan kebakaran adalah melalui udara atau 'water bombing' dan teknologi mengubah suai cuaca.

Raditya juga, beberapa langkah pencegahan diambil bagi mengelakkan masalah itu terjadi di daerah antaranya perkongsian maklumat bagi meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan hasil hutan yang boleh menjadi sumber ekonomi.

Langkah lain diambil termasuk pemantauan titik panas oleh Lembaga Penerbangan dan Antariksa Nasional (Lapan). - AGENSI

Berita Harian X