Ahad, 23 Ogos 2020 | 8:35pm
Difahamkan, lebih 100,000 warga Malaysia yang memasuki Singapura setiap hari untuk bekerja sebelum pandemik COVID-19 kini berkurangan kepada 400 sehari di bawah skim RGL. - NSTP/Zain Ahmed
Difahamkan, lebih 100,000 warga Malaysia yang memasuki Singapura setiap hari untuk bekerja sebelum pandemik COVID-19 kini berkurangan kepada 400 sehari di bawah skim RGL. - NSTP/Zain Ahmed

Syarikat Singapura lega rakyat Malaysia kembali bekerja

SINGAPURA: Ratusan rakyat Malaysia, daripada pekerja kilang hingga ke jurujual, juruelektrik, pengecat dan tukang kayu, melintasi Tambak Johor minggu lalu menuju ke Singapura untuk kembali bekerja, sekali gus melegakan majikan di republik itu.

Ini kerana syarikat di Singapura terutama kontraktor binaan, yang bergantung kepada hampir 80 peratus tenaga kerja mahir dari Malaysia, teruk terjejas apabila sempadan ditutup pada 18 Mac lalu akibat ancaman COVID-19.

Malah, Presiden Persatuan Kontraktor Ubah Suai dan Pembekal Bahan Singapura, Sky Tan, berkata beberapa syarikat terpaksa gulung tikar .

"Masalah aliran tunai adalah antara sebab utama kerana pendapatan terjejas teruk apabila pekerja dari Malaysia, yang kebanyakannya berulang alik dari Johor, tidak dapat bekerja lagi.

"Apabila kerajaan Malaysia menutup sempadan Mac lalu, ramai pekerja berada di Malaysia, hanya sebilangan kecil mencari penempatan di Singapura untuk terus bekerja.

"Bagaimanapun, mereka juga pulang ke Malaysia apabila Singapura melaksanakan perintah berkurung secara separa pada 7 April, sekali gus memburukkan lagi keadaan," katanya.

Ketua Penasihat Kreatif Kumpulan Pereka Tukang Kayu, Alloyious Koh, berkata walaupun Singapura membuka semula ekonomi Mei lalu, syarikat mereka masih tidak dapat beroperasi kerana kebanyakan pekerja masih berada di Malaysia .

"Kekurangan pekerja menyebabkan kos pengubahsuaian meningkat dan kelewatan projek, yang seterusnya melewatkan bayaran.

"Beberapa syarikat besar terpaksa mengecilkan operasi manakala banyak syarikat kecil menutup terus perniagaan," katanya.

Tambah beliau, syarikatnya menggaji 20 pekerja di bawah program Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) yang memerlukan notis tujuh hari, dan beliau optimis operasi akan kembali seperti biasa mulai minggu depan.

Perjalanan rentas sempadan terhad antara Singapura dan Malaysia bermula Isnin lalu di bawah program PCA dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

RGL membenarkan perjalanan jangka pendek untuk perniagaan penting atau tujuan rasmi antara kedua-dua negara sehingga 14 hari.

Sementara itu, PCA membenarkan rakyat Singapura dan Malaysia yang memiliki kad imigresen jangka panjang bagi perniagaan dan pekerjaan untuk kembali bekerja dengan syarat mereka berada di negara berkenaan selama 90 hari sebelum pulang.

Difahamkan, lebih 100,000 warga Malaysia yang memasuki Singapura setiap hari untuk bekerja sebelum pandemik COVID-19 kini berkurangan kepada 400 sehari di bawah skim RGL.

Di bawah program PCA pula sekitar 2,000 pekerja yang dibenarkan perlu bekerja sekurang-kurangnya selama 90 hari di negara lain sebelum kembali ke tanah air untuk bercuti.

Presiden Persatuan Warga Malaysia di Singapura, Aarathi Arumugam, bagaimanapun berpendapat kos perjalanan PCA masih terlalu tinggi dan tidak mampu ditanggung pekerja bergaji kecil.

"Tambahan pula, risikonya terlalu tinggi kerana warga Malaysia mungkin kehilangan kerja di sini sekiranya pulang ke tanah air dan dijangkiti COVID-19," katanya.

Tambah beliau, sebelum krisis COVID-19, lebih 100,000 pekerja Malaysia termasuk tukang masak, pendandan rambut, pengawal keselamatan, pengurus tapak binaan dan golongan profesional berulang alik melintasi tambak setiap hari untuk bekerja. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X