Selasa, 11 Ogos 2020 | 9:34pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Guru agama dituduh melakukan pencabulan seksual

JAKARTA: Lima kanak-kanak perempuan mendakwa menjadi mangsa pencabulan seksual guru agama mereka di Makassar, Sulawesi Selatan.

Suspek berusia 55 tahun yang belum diberkas itu sudah dikenal pasti oleh ahli keluarga kanak-kanak terbabit, yang melaporkan perbuatan itu di Pusat Penjagaan Bersepadu untuk Pemerkasaan Wanita dan Kanak-Kanak Makassar.

Menurut Jakarta Post, ketua pusat jagaan itu, Andi Tenri Pallalo, berkata kesemua mangsa berusia antara sembilan dan 12 tahun.

"Kita menguruskan kes ini sejak minggu lalu. Kami membantu dan melakukan penilaian psikologi berikutan kesemua mangsa masih di bawah umur.

"Perlakuan suspek terbongkar apabila ibu kepada salah seorang mangsa merasa curiga kerana anaknya enggan memasuki kelas.

"Selepas disoal siasat, kanak-kanak itu mendakwa dicabul gurunya dan mungkin ada lagi mangsa kerana keluarga lain turut tampil membuat tuduhan sama menyusuli kes pertama yang dilaporkan," katanya.

Polis Bahagian Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak Makassar, Inspektor Ismail, berkata pihaknya menerima laporan daripada tiga mangsa setakat Sabtu lalu.

Katanya, mangsa mendakwa mereka dicabul ketika sedang mengikuti kelas agama.

"Bagaimanapun suspek belum dapat diberkas dan polis masih membuat siasatan lanjut," katanya. - AGENSI

Berita Harian X