Jumaat, 17 Julai 2020 | 9:19pm
Gambar menunjukkan rumah ditenggelami lumpur di Luwu Utara, Selatan Sulawesi di Indonesia. - Foto AFP
Gambar menunjukkan rumah ditenggelami lumpur di Luwu Utara, Selatan Sulawesi di Indonesia. - Foto AFP

Banjir di Indonesia, 36 maut puluhan masih hilang

MAKASSAR: Anggota penyelamat mengeluarkan mayat ditimbus lumpur dan sisa ketika bertungkus lumus mencari puluhan mangsa yang masih hilang selepas banjir kilat mengorbankan sekurang-kurangnya 36 orang di Sulawesi, Indonesia.

Lebih 14,000 orang yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana alam itu kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara di Luwu Utara yang teruk terjejas akibat banjir, di mana 66 mangsa masih belum dikesan.

Beberapa sungai melimpahi tebing berikutan hujan lebat sejak Isnin lalu, yang mengakibatkan banjir kilat.

Hari ini, pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 36 orang disahkan maut dan pasukan penyelamat masih menemui lebih banyak mayat mangsa.

Jumlah mereka yang hilang turut meningkat berbanding hanya sekitar 12 sebelum ini kepada lebih 60 orang berikutan laporan anggota keluarga yang gagal menemui mangsa.

Koordinator pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Luwu Utara, Andi Mukti, berkata peluang menemui mereka masih hidup adalah tipis kerana pencarian sudah berlanjutan selama empat hari dan suasana di lapangan amat sukar.

"Terdapat lumpur setebal dua meter, namun kami meneruskan pencarian sehingga hujung minggu ini," katanya.

Beberapa ribu rumah dan pejabat kerajaan serta kemudahan awam dilitupi lumpur tebal akibat banjir. - AFP

Berita Harian X