Rabu, 1 Julai 2020 | 7:59pm
Pengunjung berjalan di sebuah pasar tradisional di Jakarta yang terdapat petunjuk penjarakan sosial berikutan kebimbangan penularan COVID-19. Foto AFP
Pengunjung berjalan di sebuah pasar tradisional di Jakarta yang terdapat petunjuk penjarakan sosial berikutan kebimbangan penularan COVID-19. Foto AFP

COVID-19: PSBB di Jakarta dilanjutkan 14 hari

JAKARTA: Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) bagi fasa transisi atau pemulihan di provinsi Jakarta, dilanjutkan untuk tempoh 14 hari lagi.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, pada sidang media menerusi laman web rasmi pemerintah Jakarta berkata, proses transisi PSBB yang membenarkan beberapa aktiviti sosio ekonomi itu, akan dinilai semula sebelum berakhir tempoh berkenaan berdasarkan perkembangan semasa kes COVID-19.

Pada 4 Jun lalu, Anies mengumumkan proses transisi PSBB sehingga akhir Jun, yang antaranya membenarkan rumah ibadat kembali dibuka, operasi pengangkutan awam, pembukaan pusat membeli-belah dan pemansuhan larangan bekerja dari rumah, dan semua aktiviti itu perlu menjalankan protokol baharu dan operasi semua sektor itu adalah tidak melebihi 50 peratus kapasitinya.

Sekolah dan pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi.

Dua hari lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengarahkan pemerintah provinsi tidak melonggarkan peraturan PSBB sekiranya kes positif virus itu berterusan meningkat.

Beberapa provinsi antaranya Jawa Tengah, Jawa Barat dan Jakarta mula melaksanakan proses transisi PSBB yang membenarkan beberapa aktiviti sosio ekonomi sejak awal dan pertengahan Jun lalu.

Sementara itu, kes positif COVID-19 di Indonesia berterusan meningkat, melepasi angka 57,000 kes, dan 2,934 kematian.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 1,385 kes positif baharu, menjadikan jumlah kes kini 57,770 dan 58 lagi kematian berlaku dalam tempoh berkenaan.

"Sebanyak 13,296 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya pada sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 926 kes diikuti provinsi Jakarta (632 kes), Kalimantan Selatan (190), Jawa Barat (177) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

- BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X