Sabtu, 23 Mei 2020 | 5:28pm
Gambar fail penyanyi terkenal, Tony Hadley. - FOTO AFP
Gambar fail penyanyi terkenal, Tony Hadley. - FOTO AFP

Gara-gara sebutan nama 'Tony Hadley'

SINGAPURA: Seorang peserta kuiz warga Singapura berjaya meraih hadiah wang tunai susulan perselisihan dengan sebuah stesen radio berhubung sebutannya untuk nama Tony Hadley - selepas penyanyi terkenal itu campur tangan.

Pekerja stesen kereta api, Muhammad Shalehan, telah mengambil bahagian dalam pertandingan stesen radio popular berkenaan di mana peserta perlu meneka suara 14 selebriti.

Bagaimanapun, stesen radio terbabit enggan memberikan hadiah SG$10,000 atas alasan beliau hanya menjawab 13 nama dengan betul. Namun tidak lama kemudian, seorang peserta lain memberi jawapan sama dan dinobatkan sebagai pemenang.

Susulan itu, Muhammad membuat aduan tetapi dimaklumkan bahawa beliau menyebut nama Hadley secara salah.

Beliau kemudian menghantar rakaman penyertaannya itu kepada Hadley sendiri dan amat terkejut apabila menerima maklum balas daripada penyanyi berkenaan.

"Saya telah mendengar balik pita rakaman itu dan setahu saya, anda menyebut nama saya dengan betul sekali," kata Hadley dalam satu video yang dihantar kepada warga Singapura berkenaan.

Pada awalnya walaupun selepas campur tangan bintang itu, stesen radio berkenaan masih enggan memberikan jumlah hadiah penuh kepada Muhammad, namun akhirnya akur semalam berikutan peningkatan kritikan dalam laman sosial.

"Kami benar-benar meminta maaf.

"Memandangkan Tony Hadley sendiri menyatakan bahawa Shalehan telah menyebut namanya dengan betul, siapalah kami untuk tidak bersetuju?

"Hadiah penuh wang tunai SG$10,000 dan membeli-belah akan turut diberikan kepada Shalehan," kata stesen terbabit dalam satu kenyataan melalui Facebook.

Lelaki berusia 32 tahun itu mengaku berasa 'amat gembira' dengan berita berkenaan. - AFP

Berita Harian X