Khamis, 2 April 2020 | 9:22pm
70 wanita hamil warga Malaysia yang bekerja di Singapura dibawa pulang. - Foto hiasan
70 wanita hamil warga Malaysia yang bekerja di Singapura dibawa pulang. - Foto hiasan

70 wanita hamil warga Malaysia di bawa pulang

SINGAPURA: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura hari ini membantu membawa pulang 70 wanita hamil warga Malaysia yang bekerja di Singapura bersama 10 kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU) melalui Tambak Johor.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Muhd Radzi Jamaluddin, memberitahu Bernama dua buah bas digunakan untuk membawa mereka pulang selepas berkumpul di Stesen MRT Kranji seawal 10 pagi tadi.

Jelas beliau, kumpulan itu mendapat perhatian awal pihaknya kerana mereka sudah hampir cukup bulan untuk bersalin.

“Kami berusaha sedaya upaya supaya mereka pulang untuk melahirkan anak di kampung halaman masing masing,” katanya.

“Menurut kumpulan itu, mereka menghadapi kesukaran untuk melahirkan anak di Singapura dan mengambil keputusan untuk bersalin di tanah air.

“Ini kerana kedua-dua negara mengenakan pelbagai syarat dan larangan ke atas pelawat asing yang berubah dari hari ke hari, sekali gus mendorong kumpulan ini untuk pulang ke Malaysia secepat mungkin,” katanya.

Pada 31 Mac, kerajaan Malaysia mengumumkan semua rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di tempat khas yang ditetapkan oleh kerajaan berkuat kuasa 3 April.

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung mulai 18 Mac, terdapat warga Malaysia yang tiada kenderaan sendiri mengambil pilihan berjalan kaki untuk pulang menyeberang Tambak Johor sejauh kira-kira satu kilometer. - BERNAMA

Berita Harian X