Ahad, 15 March 2020 | 2:34pm

Thailand keluarkan langkah pencegahan untuk pelancong

BANGKOK: Thailand mengeluarkan langkah pencegahan untuk pelancong dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah pencegahan dikeluarkan oleh Jabatan Kawalan Penyakit Thailand (DDC), Kementerian Kesihatan Awam itu mengkategorikan pelancong di negara ini ke dalam tiga kumpulan untuk pengawasan berbeza.

Tiga kumpulan berkenaan ialah zon penyakit berjangkit, negara yang menghadapi penularan jangkitan tempatan, dan pelancong dari destinasi lain.

Pelancong daripada zon penyakit berjangkit, iaitu China, Itali, Iran, Korea Selatan, Macau dan Hong Kong, dikehendaki memohon visa sebelum memasuki Thailand serta menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari selepas tiba di negara ini.

“Pada waktu daftar masuk, semua penumpang perlu mengemukakan sijil kesihatan bagi membuktikan mereka bebas COVID-19. Sekiranya mana-mana penumpang tidak dapat mengemukakan sijil itu, dia tidak akan dibenarkan menaiki pesawat.

“Apabila tiba di Thailand, semua pelancong termasuk mereka yang transit sekurang-kurang 12 jam di lapangan terbang dalam zon penyakit berjangkit atau melepasi imigresen di negara terbabit dan wilayahnya, perlu menjalani saringan di pintu masuk serta memberi maklumat kepada pegawai di Pejabat Kuarantin,” katanya.

Bagi penumpang transit, TAT berkata, mereka perlu menjaga jarak sosial dan berada hanya di kawasan berhampiran pintu pagar.

Bagi pelancong menjalani kuarantin mandatori 14 hari pula, masing-masing perlu merekod serta mengawasi jika ada gejala jangkitan, manakala pegawai pengawasan akan memantau dengan teliti gejala dialami pelancong.

Menurut TAT, pelancong dari kawasan transmisi tempatan yang berterusan, disyorkan berada bawah pemerhatian dan pemantauan sendiri (penyeliaan tanpa kuarantin) ketika tempoh inkubasi selama 14 hari, dengan pegawai pengawasan akan turut memantau dengan teliti gejala mereka.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan Awam mengemas kini senarai negara yang mempunyai transmisi tempatan berterusan, termasuk Jepun, Perancis, Sepanyol, Switzerland, Jerman, Belanda, Sweden, Norway, Denmark, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Jika seseorang penumpang berasa tidak sihat atau mengesyaki mereka mengalami demam bersama sekurang-kurang satu gejala seperti batuk, hidung berair, sakit tekak dan sesak nafas dalam tempoh 14 hari selepas tiba di Thailand, mereka mesti memaklumkan kepada pegawai kawalan penyakit untuk segera menjalani ujian, rawatan, diagnosis secara klinikal, diasingkan atau dikuarantin,” katanya.

Bagi pelancong dari destinasi lain, TAT berkata, mereka akan menjalani pemeriksaan serta saringan seperti biasa di pintu masuk dan keluar.

“Mereka dinasihatkan supaya mengikut saranan kesihatan - elakkan mengunjungi tempat sesak, elakkan mendekati individu mengalami gejala penyakit pernafasan, mengambil langkah makan makanan yang dimasak, menggunakan sudu untuk makan, basuh tangan dan memakai penutup muka serta hidung untuk mengelakkan penyakit,” katanya.

Hingga kini, Thailand mencatatkan 82 kes COVID-19 dengan satu kematian dan 46 pesakit masih dirawat di hospital, manakala 35 lagi telah dibenarkan pulang. – BERNAMA

Berita Harian X